PRN Melaka: UMNO negeri mula cakap bagi pihak akar umbi PAS

UMNO Melaka dilihat masih tidak dapat menerima hakikat bahawa PAS telah membuat keputusan untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu bulan ini.

Malah, parti itu juga kini mula bercakap bagi pihak akar umbi PAS yang kononnya masih mahu bekerjasama dengan UMNO dalam PRN itu, walaupun Jawatankuasa PAS Pusat telah membuat keputusan menggunakan lambang PN.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yakin akar umbi PAS mahukan parti itu bekerjasama memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi PRN Melaka.

Untuk rekod, MN bukan gabungan parti politik berdaftar, sebaliknya hanya persefahaman antara PAS dan UMNO. PAS sebaliknya, adalah parti komponen dalam PN yang didaftarkan sebagai gabungan parti politik bersama Bersatu dan beberapa parti lain.

Memetik laporan Utusan Online, Mohamad Ali berkata kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai penggunaan lambang itu mempunyai maksud tersirat dan tersurat.

“Kenyataan itu juga tidak menyebut langsung PAS akan memutuskan hubungan dengan UMNO dalam MN sebaliknya ia sekadar menyentuh penggunaan logo.

“Oleh itu, saya yakin akar umbi PAS dan UMNO khususnya di negeri ini mahu kedua-dua parti ini bekerjasama menghadapi PRN nanti,” katanya.

Terdahulu, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Khamis minggu lalu mempelawa PAS bekerjasama menghadapi PRN Melaka, dengan syarat parti itu tidak boleh menggunakan lambang PN sebaliknya menggunakan lambang parti itu sendiri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada sidang media selepas mesyuarat MT itu berkata, asas kerjasama itu berpandukan kepada prinsip PAS menggunakan lambang partinya sendiri, selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk Muafakat Nasional dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

Namun, kelmarin PAS membuat pendirian tegas – menolak syarat kerjasama UMNO iaitu wajib menggunakan lambang parti itu sendiri dalam PRN Melaka – sebaliknya parti Islam itu akan menggunakan lambang gabungannya PN. Berita berkaitan

Memberi alasan kerjasama kedua-dua parti itu membuahkan kejayaan dalam tujuh pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, Mohamad Ali berkata akar umbi PAS dan UMNO menyambut baik pendirian enam Ketua Bahagian UMNO Melaka yang menyatakan keputusan mahu terus bekerjasama dengan parti Islam itu.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 16 November dan pengundian biasa (20 November).

PRN itu diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri, termasuk dua daripada UMNO, menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

BERITA BERKAIT
POPULAR