PRN Melaka: Rakyat perlukan kerajaan stabil, bukan huru-hara

Rakyat Melaka memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, bukan kerajaan negeri yang menyebabkan huru-hara hingga menimbulkan banyak masalah, kata Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Saya rasa rakyat juga tidak puas hati apabila mereka diheret oleh pihak yang ingin menimbulkan ketidaktenteraman.

“Justeru, kita ingin membawa satu harapan baharu kepada rakyat negeri Melaka undi Perikatan Nasional (PN) untuk lebih kestabilan. Ini yang diperlukan oleh rakyat di negeri Melaka,” katanya.

Beliau berharap dengan penampilan campuran parti PN dapat melahirkan pentadbiran yang stabil untuk rakyat Melaka.

Beliau percaya, rakyat Melaka juga inginkan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak menimbulkan banyak masalah atau huru-hara dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Dr Ahmad Samsuri juga berharap komitmen yang diberi PN dengan menampilkan campuran calon yang menyeluruh daripada PAS, Bersatu dan Gerakan akan melahirkan satu pentadbiran yang lebih stabil berbanding sebelum ini.

PRN Melaka diadakan setelah berlaku krisis pentadbiran dalam kerajaan UMNO apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan kepada Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN terbabit diketuai Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Krisis itu tercetus setelah Idris bersama tiga bekas ADUN itu tidak puas hati dan mendakwa Rauf yang menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) lebih berkuasa daripada Sulaiman, malah KM Melaka itu terpaksa tunduk kepada kehendak Rauf.

Perbalahan menjadi semakin hebat setelah pada satu peringkat, Idris yang juga Ahli Exco negeri ketika itu mendedahkan terdapat pemimpin UMNO Melaka membolot projek ekonomi dan menipu Kerajaan Pusat berkaitan royalti pasir.

Idris mendedahkan, disebabkan perkara tersebut, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kalau UMNO terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan tangan kanan dan kiri, suap ke mulut sambil mata menjeling lagi makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak dari tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti. Semuanya berlaku dengan jelas.

Ini penipuan yang akan menyebabkan UMNO ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang. Saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini,” katanya Idris.

Susulan penarikan sokongan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN setelah mendapat nasihat Sulaiman yang kehilangan majoriti. SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

BERITA BERKAIT
POPULAR