PRN Melaka, PM bimbang penularan Covid-19 berulang

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan kebimbangan berhubung risiko penularan Covid-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diadakan dalam masa terdekat.

Ismail Sabri berkata ekoran perkembangan politik di Melaka, media sosialnya telah dihujani dengan pelbagai pandangan daripada orang ramai yang bimbang akan berlaku peningkatan kes seperti yang berlaku pada PRN Sabah lepas.

“Di Sabah dahulu kes telah rendah tetapi apabila diadakan PRN, akhirnya kes meningkat semula dan ini perkara yang ramai bimbang.

“Jika (PRN Melaka) diadakan, saya percaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan adakan SOP (prosedur operasi standard) ketat untuk pastikan kawalan dapat dibuat,” katanya lapor Bernama.

Beliau terdahulu melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021.

Terdahulu awal hari ini, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam menerima cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka (DUN).

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengumumkan mereka hilang kepercayaan serta menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Perkembangan tersebut merisikokan kerajaan Melaka pimpinan Barisan Nasional (BN) sekarang tumbang.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas)

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata beliau menyerahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk mencari penyelesaian berhubung isu di Melaka itu kerana ia turut melibatkan isu parti.

BERITA BERKAIT
POPULAR