PRN Melaka: Pemimpin UMNO sudah mula atur langkah berunding dengan PH

Langkah berunding dengan blok pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sudah dimulakan pemimpin atasan UMNO walaupun keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya akan diketahui pada 20 November ini.

Rundingan tersebut hampir sama dengan langkah yang pernah berlaku di Perak apabila Menteri Besar (MB) Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disingkir selepas persetujuan UMNO bekerjasama dengan PH, hasilnya seorang MB baharu daripada UMNO dilantik.

Sumber Agenda Daily mengesahkan pemimpin atasan UMNO sudah mula mencari jalan dan menghantar mesej kepada pemimpin PH berhubung kesediaan mereka untuk menjalinkan kerjasama bagi membentuk sebuah kerajaan baharu di Melaka.

Paling jelas pengakuan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri sudah membuat pengakuan berhubung kenyataannya tidak menolak kerjasama dengan parti lain di Melaka tidak terbatas dengan Perikatan Nasional (PN) sahaja.

“Kita terbuka kerjasama dengan sesiapa…tak bermaksud dengan PN sahaja, dengan sesiapa boleh… apa pasal semua orang boleh bekerjasama dengan semua orang, UMNO tak boleh,” kata Mohamad dalam satu wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

Menurut sumber yang menjelaskan kenyataan Mohamad tersebut, ia bertujuan memberi mesej kepada pemimpin PH khususnya kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga cikgu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membuat pertimbangan berhubung tawaran tersebut.

“Ia adalah mesej jelas kepada Anwar bahawa BN terbuka untuk berunding dengan PH, jadi faham-fahamlah untuk mereka menyambut… Ia agak luar biasa apabila kenyataan sedemikian keluar ketika tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum hari pengundian,” kata sumber.

Bagaimanapun, sumber memberitahu pemimpin UMNO mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat keputusan pada hari pengundian nanti untuk sama ada meneruskan langkah berunding dengan PH atau sebaliknya.

“Ia adalah jalan selamat yang dipilih UMNO dan BN bagi memastikan sekiranya tidak memiliki jumlah kerusi yang cukup mereka masih boleh mendapatkan sokongan daripada PH nanti untuk membentuk kerajaan.

“Difahamkan Zahid tidak mahu berunding dengan PN kerana bimbang akan dikecam menjilat ludah sendiri selepas keputusannya untuk masuk bertanding PRN Melaka secara solo… Mana Zahid nak letak mukanya jika tiba-tiba terpaksa menerima PN dalam satu kerajaan nanti,” kata sumber.

Langkah berunding dengan PH yang sedang dirancang oleh pemimpin UMNO itu dianggap sebagai satu plan kecemasan sekiranya memerlukan tambahan beberapa kerusi lain untuk mencukupkan majoriti yang diperlukan bagi membentuk kerajaan negeri.

“Zahid dan Mohamad sudah mula melihat realiti yang bakal berlaku pada PRN kali ini, bagi mengelakkan tercetusnya satu lagi kemelut politik di Melaka satu kerajaan yang stabil dan kuat perlu dibentuk.

“Lagipun, dua calon bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO kini sudah berada disana sebagai calon PH apabila diletak bertanding atas tiket gabungan itu,” katanya merujuk kepada dua bekas ADUN UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan.

Idris bertanding atas tiket calon PKR di kerusi Asahan, sementara Nor Azman pula di kerusi Pantai Kundor atas tiket Amanah.

Kedua-dua calon tersebut juga menjadi pertaruhan UMNO bagi memastikan rundingan kerjasama dengan PH itu berjaya.

Pada PRN Melaka kali ini, BN bertanding semua 28 kerusi DUN; UMNO bertanding di 20 kerusi, tujuh MCA dan satu MIC.

Mohamad berkata BN sekurang-kurangnya perlu memenangi 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membentuk satu kerajaan yang stabil dan melihat peluang BN sangat cerah untuk menyapu banyak kerusi kali ini.

Cadangan jajaran baharu sebelum ini timbul hasil cetusan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang membayangkan bakal terbentuk jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang akan dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya PN semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pendedahan terbuka Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

“Kedinamikan politik pasti berlaku saya lihat…saya bukan seorang nujum politik tetapi saya yakin kalau mahu disebut hala tuju atau kedinamikan itu kita lihat, selepas PRU15, sama ada ia akan diadakan dalam waktu terdekat, atau dalam tempoh yang hanya Allah Taala sahaja tahu kerana kalau mengikut cukup tempoh pilihan raya adalah pada tahun 2023.

“Pada ketika itu, saya hampir pasti bahawa akan ada sesuatu yang akan berlaku kepada UMNO, sebagai sebuah parti induk orang Melayu dan Islam, di mana ketika itu akan ada Perikatan 3.0 bukan Perikatan Nasional,” katanya semasa wawancara Program 75 Tahun Jubli Intan lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR