PRN Melaka: Kerajaan 18 bulan lebih matang, kata bakal KM Melaka

Bakal Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kerajaan 18 bulan Barisan Nasional (BN) Melaka telah menunjukkan kematangan bagaimana untuk menguruskan rakyat, berbanding 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata parti itu dan BN berbeza dengan yang lain kerana membawa kelestarian dalam pengurusan kepada rakyat.

Beliau akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berdepan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, serta Setiausaha Pengelola Keadilan Cabang Masjid Tanah, Zainal Hassan.

“Sekali lagi saya mengatakan saingan sengit antara parti (di DUN Tanjung Bidara). Ia membabitkan sebuah parti yang membawa kelestarian dalam pengurusan rakyat dan parti (lain) yang membawa ideologi masing-masing.

“Bukan pertandingan bagi individu untuk tunjuk popular tapi parti yang berbeza ideologi. Kita melihat bahawa terbukti ruang telah diberi kepada parti yang mentadbir (kerajan negeri selama) 22 bulan… 18 bulan BN (pula) tunjuk kematangan bagaimana kita menguruskan rakyat dalam tempoh tersebut,” katanya.

PRN Melaka diadakan setelah berlaku krisis pentadbiran dalam kerajaan negeri apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO, menarik sokongan kepada kerajaan UMNO negeri pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat ADUN terbabit diketuai Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang); Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor); Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu); dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Krisis itu tercetus setelah Idris bersama tiga bekas ADUN tidak puas hati dan mendakwa Rauf yang menjadi Speaker DUN lebih berkuasa daripada Sulaiman, malah KM Melaka itu terpaksa tunduk kepada kehendak Rauf.

Perbalahan menjadi semakin hebat setelah pada satu peringkat, Idris yang juga Ahli Exco negeri ketika itu mendedahkan terdapat pemimpin UMNO Melaka membolot projek ekonomi dan menipu Kerajaan Pusat berkaitan royalti pasir.

Idris mendedahkan, disebabkan perkara tersebut, beliau terpaksa menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri Melaka untuk menyelamatkan UMNO daripada ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Kalau UMNO terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan tangan kanan dan kiri, suap ke mulut sambil mata menjeling lagi makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak dari tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti. Semuanya berlaku dengan jelas.

“Ini penipuan yang akan menyebabkan UMNO ditolak mentah-mentah dalam PRU akan datang. Saya percaya dan yakin rakyat menyedari hakikat ini,” katanya Idris.

Susulan penarikan sokongan itu, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN setelah mendapat nasihat Sulaiman yang kehilangan majoriti. SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

Sementara itu, bercakap pada sidang media di villanya di Kampung Pulau, Masjid Tanah, hari ini, Rauf berkata BN akan melancarkan manifesto PRN Melaka secara dalam talian pada Rabu ini.

Beliau berkata manifesto berkenaan akan memberikan cadangan-cadangan terbaik untuk membangunkan Melaka jika rakyat memberikan mandat kepada BN untuk kembali menjadi kerajaan.

“Kita tunggu pengisian (manifesto) dan bagaimana ia akan digunakan kepada masyarakat. Manifesto ini akan memberikan cadangan-cadangan yang terbaik untuk negeri Melaka,” katanya.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, dengan 495,196 pengundi berdaftar.

BERITA BERKAIT
POPULAR