PRN Melaka: Keputusan minggu depan, kata Perdana Menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diadakan atau darurat diisytiharkan akan dibuat minggu depan.

Katanya kerajaan akan membuat keputusan minggu depan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN.

Katanya, Sultan Nazrin Muizzudin Shah dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara itu sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri membincangkan isu PRN Melaka dalam mesyuarat hari ini, namun tidak sebarang keputusan.

“Tadi kita adakan mesyuarat Kabinet, dan bincang tentang situasi di Melaka. Kita belum membuat sebarang keputusan lagi. Jadi kita tunggulah selepas taklimat kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong.

“Kabinet akan membuat keputusan minggu depan,” katanya selepas Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Angkasapuri di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai saranan untuk kerajaan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN di negeri itu.

Sebelum ini, beberapa pakar Perlembagaan dan kesihatan awam menyifatkan proklamasi darurat sebagai penyelesaian terbaik bagi mengelak PRN Melaka ketika negara masih berdepan wabak Covid-19.

Ia berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan situasi pandemik di Malaysia akan kembali serius jika PRN Melaka diadakan, seperti yang berlaku selepas PRN Sabah.

Kerajaan Melaka pimpinan UMNO diketuai Datuk Seri Sulaiman Md Ali hilang majoriti selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua daripada parti itu, menarik sokongan terhadapnya Isnin lalu.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memudian memohon membubarkan dan diterima oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam pada 4 Oktober lalu.

Mengikut Perlembagaan negeri, PRN perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

Melaka hari ini merekodkan 244 jangkitan baharu, turun berbanding 260 kes yang dicatat semalam, menjadikan keseluruhan kes di negeri itu sebanyak 59,964, berbanding 55,054 kes sembuh.

Sementara itu, 158 pesakit Covid-19 masih dirawat di hospital, manakala 22 dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga hari ini terdapat 4,153 kes aktif Covid-19 di Melaka dengan 3,489 menjalani kuarantin di rumah, dan 484 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Dalam tempoh Februari hingga semalam juga, seramai 602,417 atau 88.9 peratus individu dewasa berusia 18 tahun ke atas di negeri itu lengkap divaksinasi, manakala 619,376 atau 91.4 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

BERITA BERKAIT
POPULAR