PRN Melaka: Ismail Sabri lawat bilik gerakan BN tapi kelibat Najib tak ada

Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, mendapat suntikan semangat sekali gus menambah keyakinan akan menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, susulan lawatan Naib Presiden parti itu yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke beberapa bilik gerakan BN hari ini.

Selain melawat bilik gerakan BN, Ismail Sabri diiringi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sempat beramah mesra dengan orang ramai ketika bersarapan pagi di Medan Selera MBMB Alai.

Bagaimanapun, kelibat pemegang amanah parti UMNO yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak tidak kelihatan menyambut atau mengiringi Ismail Sabri dalam lawatan itu.

Perdana Menteri juga mengunjungi Bilik Gerakan DUN Sungai Udang kira-kira jam 9.45 pagi tadi disambut pemimpin dan jentera parti BN Bahagian Tangga Batu.

Dilaporkan, kehadirannya untuk memberikan kata-kata semangat kepada calon-calon BN yang bertanding pada PRN Melaka 20 November ini.

Kira-kira 50 penyokong dan jentera parti turut berada di bilik gerakan berkenaan yang bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.

BN mempertaruhkan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang pertama kali menjadi calon pada pilihan raya.

PN mempertaruhkan Dr Mohd Aleef Yusof; Hasmorni Tamby (PH); dan Mejar Jeneral (B) Mohd Zahar Hasim (Bebas).

Hadir sama mengiringi Ismail Sabri ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Noraini Ahmad.

Ismail Sabri dilaporkan sebelum itu melawat DUN Lendu dan Asahan.

Beliau dijadual turut meluangkan masa beramah-mesra dengan jentera parti sebelum menamatkan lawatan ringkasnya ke DUN Rim di Jasin.

Ketika di Melaka, Ismail Sabri sempat menyampaikan surat tawaran melanjutkan pelajaran di Kolej Komuniti Bukit Beruang kepada anak pegawai bomba yang lemas ketika menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Ayer Keroh, Oktober lalu.

Surat tawaran itu diserahkan Perdana Menteri kepada Muhammad Daniel Hakime, 18, yang merupakan anak sulung Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, hari ini.

Difahamkan, ini adalah kali pertama Ismail Sabri turun berkempen bagi BN, khususnya, UMNO setelah gagal memastikan parti-parti yang membentuk Kerajaan Pusat tidak bertembung dalam PRN Melaka.

Sebelum ini, beliau diamanahkan mewakili BN/UMNO untuk berunding dengan PN yang turut menjadi parti Kerajaan Pusat bagi mengelak pertembungan sesama sendiri, tetapi gagal setelah UMNO kekal mahu memonopoli kerusi DUN.

Susulan itu, PN yang dianggotai Bersatu, PAS dan Gerakan meletak calon di semua 28 kerusi DUN Melaka dalam PRN kali ini.

Untuk rekod Ismail Sabri dilantik menjadi PM kesembilan pada 21 Ogos setelah mendapat sokongan semua 50 Ahli Parlimen (MP) parti-parti gabungan PN – Bersatu dan PAS – termasuk empat wakil rakyat Bebas pro-PN.

Pelantikan beliau susulan peletakan jawatan PM oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin setelah dikhianati kumpulan 15 MP UMNO diketuai Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menarik balik sokongan kepada PN.

BERITA BERKAIT
POPULAR