PRN Melaka: Idris kata beliau lebih hebat daripada UMNO

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan parti itu di Melaka, Datuk Seri Idris Haron mendakwa beliau adalah pemimpin yang lebih baik untuk mentadbir negeri itu bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Adly Zahari.

Walaupun belum pasti PH akan meletakkannya sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November ini, bekas Ketua Menteri (KM) itu mendakwa kombinasi dirinya dan Adly yang juga bekas KM kerajaan PH sebelum ini adalah ‘tawaran terbaik’ kepada rakyat negeri itu.

Idris adalah antara dua ADUN UMNO yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Seorang lagi ialah bekas ADUN UMNO Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Kedua-duanya bersama bekas ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hasan Baktee dan bekas ADUN Berstu, Teluk Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad menarik sokongan itu menyebabkan kerajaan negeri tumbang sebelum Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 8 November ini sebagai hari penamaan calon diikuti pengundian awal pada 16 November dan pengundian biasa 20 November.

Memetik kenyataannya kepada FMT Idris yang juga bekas ADUN Sungai Udang itu berkata kerajaan yang bakal dibentuk bersama beliau dan Adly tidak akan mendiskriminasi rakyat sebaliknya akan membahagikan kek ekonomi secara berkadar.

“Kita akan buktikan kerajaan yang bakal mengambil alih nanti adalah kerajaan yang lebih bertanggungjawab, termasuk dalam pembelaan nasib rakyat dan tidak mendiskriminasi serta membahagikan kek ekonomi secara berkadar.”

Beliau percaya PH adalah pilihan terbaik untuk pengundi Melaka dalam PRN nanti.

Menurutnya, adalah lebih baik negeri itu ditadbir oleh kerajaan yang berbilang bangsa dan bersih, berbanding kerajaan negeri yang diterajui oleh pemimpin Melayu-Islam korup dan tidak cekap.

Idris yang juga bekas pemimpin UMNO berkata, kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sebelum ini mengatakan mereka adalah kerajaan negeri Melayu-Islam yang pertama di Melaka.

“Kerajaan yang mendakwa mereka Melayu dan Islam, tetapi rosak, korup, tidak cekap, (yang terdapat) campur tangan, mendiskriminasi dan sebagainya,” katanya yang turut membangkitkan isu bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) di Masjid Tanah beberapa hari lalu, tetapi turut melibatkan BN dan UMNO.

Ini adalah satu penyakit yang cukup menekan rakyat Melaka pada hari ini. Saya yakin bantuan MAIM yang disampaikan itu juga adalah satu agenda yang tidak suci hati, tidak bertanggungjawab dan menasihatkan penerima supaya menyokong mereka dan sebagainya, katanya.

Pada majlis MAIM itu semalam, ketua kempen UMNO pada PRN Melaka, Datuk Seri Najib Razak turut hadir dan berucap sehingga menimbulkan persoalan pelbagai pihak.

Majlis yang difahamkan diadakan kelmarin bertujuan menyerahkan sumbangan bantuan one-off MAIM sebanyak RM350 kepada peniaga di kawasan Masjid Tanah, tetapi dewan tempat majlis diadakan dipasang puluhan bendera UMNO dan BN seolah-olah acara parti politik.

Majlis itu dirasmikan Sulaiman, tetapi Najib juga turut berucap. Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. Berita berkaitan 

BERITA BERKAIT
POPULAR