PRN Melaka: Calon Gerakan tanda tangan SD tak lompat parti

Lima calon Gerakan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk tidak melompat parti

Langkah ‘kendiri’ diambil parti itu bertujuan memberi ‘perlindungan tambahan’ bagi mencerminkan mustahaknya nilai kesetiaan untuk ditonjolkan kepada rakyat, kata Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau berkata jika calon dari parti itu bertindak melompat parti seandainya menang PRN Melaka, individu itu dikehendaki mengosongkan kerusi ditandingi mereka sejajar persetujuan yang ditandatangani dalam SD berkenaan.

“Gerakan mengambil tindakan untuk meninggikan kepercayaan dan keyakinan rakyat terutama di kawasan yang Gerakan bertanding. Kita minta semua calon selain mereka berikrar akan bersama dengan parti Gerakan dan PN, mereka menandatangani SD.

“Ini menunjukkan hasrat kita untuk memberikan komitmen dan SD itu dengan jelas menyatakan selepas mereka menjadi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), jika mereka membuat keputusan nak lompat ke parti lain, mereka mesti kosongkan kerusi kawasan yang mereka dipilih dan PRK (Pilihan Raya Kecil) boleh diadakan. Ini kita katakan adil kepada semua rakyat.

“Mengapa kita katakan bahawa mereka kena kosongkan (kawasan ditandingi) kerana mengikut Artikel 10 kebebasan berpersatuan, maksudnya mereka boleh pilih mana-mana parti mereka nak bersama kerana akta (Anti Lompat Parti) belum diluluskan di Parlimen lagi.

“Sebab itulah, kita minta mereka tandatangani SD semalam dan hari ini, mereka bersama dengan kita untuk maklumkan kepada semua pengundi Melaka mengenai komitmen kita,” katanya pada sidang di Kuala Lumpur, hari ini.

Lima calon PRN Melaka dari Gerakan yang bertanding dengan lambang PN adalah Dhanesh a/l Basil (Asahan); Datuk Seri Michael Gan Peng Lam (Ayer Keroh); Patrick Ng Chin Kae (Kesidang); Clarice Chan Ming Wang (Bandar Hilir); dan Fong Khai Ling (Kota).

Katanya dalam SD itu juga calon sama ada terpilih atau tidak sebagai wakil rakyat di kawasan ditandingi nanti mesti kekal setia dan tidak akan sesekali mengkhianati Gerakan, PN dan kepercayaan pengundi di Melaka.

SPR menetapkan esok sebagai hari penamaan calon, diikuti 16 November bagi pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

PRN Melaka diadakan susulan keputusan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang kehilangan majoriti.

BERITA BERKAIT
POPULAR