PRN Melaka: Bantu rakyat walau sehelai surat sokongan, kata Mas Ermieyati

Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menganggap label ‘pengkhianat’ terhadapnya bukan berlaku sekarang, sebaliknya telah tiga tahun berlalu, dan tidak menghalang tugasnya untuk menabur bakti kepada masyarakat.

Calon Perikatan Nasional (PN) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara itu juga berpendapat label itu tidak pernah melunturkan semangatnya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu tetap bertekad untuk meneruskan amanah parti meskipun wujud persepsi negatif terhadapnya sejak tiga tahun lalu.

Untuk rekod, pengkhianatan juga berlaku ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, sehingga Kerajaan PN yang memerintah negara, tumbang pada 16 Ogos lalu.

Pengkhianatan itu dilakukan 15 Ahli Parlimen daripada UMNO diketuai Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan Kerajaan PN.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata sentimen pengkhianat ini sejak dahulu lagi berlaku, bukan hanya sekarang.

“Apapun label atau gelaran yang diberikan kepada saya sejak tiga tahun lalu, saya tetap memberikan khidmat saya untuk Masjid Tanah. Saya tetap turun berjumpa masyarakat, saya tidak pernah abaikan mereka.

“Saya tetap memberikan bantuan sekiranya diperlukan walaupun hanya sehelai kertas surat sokongan, saya dah cuba yang terbaik,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Meyakini tanggungjawabnya kepada rakyat telah dilaksanakan sebaik mungkin, beliau menyerahkan nasibnya kali ini kepada pengundi Tanjung Bidara untuk menilai rekod prestasi dan hasil kerjanya selama ini.

Beliau juga tidak pernah peduli dengan label yang dilemparkan, malah lebih suka berdiam diri daripada menjawab tohmahan selain terus komited melaksanakan tugas yang diamanahkan.

“Tapi kalau ada pemimpin tertentu melabelkan saya pengkhianat, terserah kepada rakyat untuk menilainya, mereka telah matang dan bijaksana.

“Adakah cukup dengan label gelaran pengkhianat itu untuk menidakkan perkhidmatan saya ataupun komitmen saya terhadap warga Tanjung Bidara?,” katanya.

Mas Ermieyati mewakili Bersatu-PN memberi saingan tiga penjuru di DUN Tanjung Bidara pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadual pada 20 November ini.

Bekas peguam syariah yang juga Naib Srikandi Bersatu itu akan menentang calon ‘heavyweight’ dari Barisan Nasional, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan calon Pakatan Harapan, Zainal Hassan.

Ditanya sama ada beliau akan meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) jika menang kerusi itu, Mas Ermieyati berkata beliau masih mampu membahagikan tugas bagi menunaikan tanggungjawab sebagai timbalan menteri dan Ahli DUN.

“Tiada peraturan yang memerlukan saya meletak jawatan sebagai timbalan menteri, setiap manusia diberi 24 jam, ia tentang bagaimana kita mengurus masa dan tanggungjawab yang diberikan kepada kita.

“Kalau dah diberi tanggunjawab tapi tak nampak batang hidung pun tak guna juga, kalau saya dipilih sebagai wakil rakyat Tanjung Bidara, saya tahu bagaimana nak bahagikan tugas, ketika ini saya masih ada masa untuk berada di kawasan tiga empat kali seminggu,” katanya.

Mas Ermieyati, 45, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah sebelum ini merupakan Ketua Puteri UMNO sebelum keluar daripada parti itu pada Julai 2018, dua bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan disahkan menjadi ahli Bersatu pada Disember 2018.

BERITA BERKAIT
POPULAR