PRN Melaka: 112 calon layak tanding

Seramai 112 calon layak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, setelah semua pusat penamaan calon ditutup jam 10 pagi tadi.

Ia membabitkan masing-masing 28 calon Perikatan Nasional (PN); Barisan Nasional (BN); dan Pakatan Harapan (PH); 22 calon Bebas; lima calon daripada parti PUTRA dan seorang calon IMAN.

Daripada jumlah calon itu, 16 adalah wanita, manakala calon tertua berusia 68 tahun daripada BN, dan termuda berusia 21 tahun daripada PH.

PRN Melaka juga menyaksikan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Asahan, Duyong, dan Gadek, katanya.

Beliau berkata sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula, menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Pertandingan empat penjuru berlaku di sembilan DUN dan tiga penjuru di 11 DUN.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Melaka mengingatkan semua majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenar diadakan di negeri itu mulai 4 November 2021 hingga 27 November 2021.

Turut tidak dibenarkan adalah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun, mesyuarat parti di Melaka dibenarkan bagi individu yang telah lengkap divaksin tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan pematuhan penjarakan fizikal.

Terdahulu, SPR menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon diikuti 16 November untuk pengundian awal dan 20 November pengundian biasa.

PRN Melaka diadakan setelah Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam membubarkan DUN setelah mendapat nasihat Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, yang hilang majoriti sokongan susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan terhadapnya, pada 4 Oktober lalu.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita.

BERITA BERKAIT
POPULAR