PRN Johor: Zahid ajak ‘jotos’ lawan

Presiden UMNO – parti yang dicop sebagai ‘parti berimej rasuah’ oleh seorang bekas Ketua Hakim Negara – Zahid Hamidi mengajak rakyat Johor ‘jotos’ parti yang didakwanya pernah berbohong kerana laparkan kuasa, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

PRN Johor diadakan setelah UMNO yang mentadbir Johor menerusi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Hasni Mohammad sebagai menteri besar, terpaksa berkongsi kuasa dengan parti gabungan Perikatan Nasional (PN).

Disebabkan tidak memiliki kuasa mutlak mentadbir negeri itu, UMNO negeri, setelah mendapat restu Majlis Tertinggi (MT), memutuskan untuk memohon perkenan Sultan Johor bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan PRN diadakan. Dalam hal ini ianya berbeza daripada dakwaan Zahid bahawa parti lain ‘laparkan’ kuasa.

Pada 26 Januari lalu, bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang tidak terlibat dengan mana-mana parti politik sebaliknya banyak menulis mengenai politik negara, terutama berdasarkan pandangannya dari sudut perundangan, mengatakan UMNO adalah parti berimej rasuah dan perlu menyingkirkan Zahid serta bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Abdul Hamid dalam tulisan di laman sesawangnya, malah berpendapat Zahid dan Najib sekarang ini menggunakan UMNO untuk membebaskan mereka daripada pertuduhan di mahkamah.

Pada 24 Januari 2022 lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi (YAB).

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud prima facie dalam kes itu.

Untuk rekod, prima facie adalah keterangan yang berhubung dengan fakta yang diterima mahkamah sebagai bukti kesalahan tertuduh.

Bagaimanapun, dalam kenyataannya semalam (5 Februari 2022) Zahid juga berkata PRN Johor tidak memberi kesan kepada kes mahkamah sebaliknya memberi kesan kepada yang pernah menipu rakyat dan mengkhianati undi rakyat dengan melompat parti selepas 9 Mei 2018.

Ketika mengulas kenyataan pemimpin PN yang mengaitkan pembubaran DUN Johor dengan pendakwaan politik dikenakan terhadap pemimpin UMNO, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang turut berdepan puluhan tuduhan jenayah dan rasuah di Mahkamah Tinggi Shah Alam, berkata kenyataan itu adalah hujah yang lemah.

“Ia suatu hujah yang lemah, memesongkan dan mengelat oleh pihak yang barangkali ‘beno-beno’ sedang terdesak selepas cabaran mereka supaya ‘tekan butang’ jadi kenyataan.

“Juga suatu hujah seolah-olah memperlekeh kebijaksanaan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam menentukan apa yang terbaik untuk rakyat dan negeri jajahan takluk Johor.

“Ayuh Bangsa Johor kali ini kita kasi ‘jotos’ parti politik yang pernah berbohong kerana ‘lapo-kan’ kuasa sehingga sanggup memperdayakan rakyat Malaysia dengan fitnah dan tipu daya,” kata Zahid, salah seorang pemimpin UMNO yang dicop berada dalam ‘kluster mahkamah’.

Sebelum ini, Zahid yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri tidak mengaku salah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Mahkamah Tinggi menetapkan 28 hingga 31 Mac; 11 hingga 13 April; 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; dan 27 hingga 30 Jun, untuk prosiding membela diri.

Semalam, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu menyertai PRN Johor kerana tidak mahu kumpulan yang tidak amanah, rasuah dan mencuri harta rakyat, terus memerintah. Berita berkaitan 

Bekas Perdana Menteri itu mengingatkan bahawa kuasa yang diperoleh bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuaskan nafsu dunia semata-mata, sebaliknya untuk membebaskan negeri dan negara daripada kumpulan sedemikian.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ‘jotos’ membawa maksud tinju (berjotos = bertinju).

BERITA BERKAIT
POPULAR