PRN Johor: Warisan tanding enam kerusi

Parti Warisan yang dipimpin Ahli Parlimen Semporna, Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan akan bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac depan.

Enam kerusi yang akan ditandingi adalah DUN yang pernah dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Bersatu pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, iaitu Bekok, Mahkota, Johor Jaya, Permas, Bukit Batu dan Pekan Nenas.

Ketika mengumumkan senarai calon berkenaan, Shafie berkata Warisan komited untuk membawa prinsip semak dan imbang dalam DUN Johor, selain persediaan awam menghadapi PRU-15.

“Di Johor ini kita harap dapat mengikat perpaduan yang begitu kental antara pelbagai kaum, berbagai agama. Negara ini sebuah negara dimiliki semua kaum, bukan hanya dimiliki Melayu, India, Cina, Iban, Kadazan, Dusun, Murut.

“Warisan mempunyai barisan calon yang terdiri daripada peguam, pemegang dua ijazah, ahli perniagaan, aktivis, dan anak kepada bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor. Tapi apa yang paling penting ialah mereka semuanya ‘Anak Johor’,” katanya.

Pada sidang media kemudiannya, Mohd Shafie berkata, biarpun jumlah calon parti itu tawarkan tidak banyak, namun Warisan tidak akan membuat perjanjian dengan mana-mana parti politik.

Berikut senarai calon parti Warisan:

N06 Bekok – Sandara Segaran Arumugam;
N29 Mahkota – Mohamed Noor Suleiman;
N42 Johor Jaya – Chen Hain Kai;
N43 Permas – Mohamed Ridza Busu;
N51 Bukit Batu – Lee Ming Wen;
N55 Pekan Nenas – Hishammuddin Busri;

BERITA BERKAIT
POPULAR