
UMNO Bahagian Tanjung Piai menuntut kerusi DUN Pekan Nanas diberikan kepada mereka pada PRN Johor kali ini.
Tidak ada pilihan selain mengecapi kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor jika UMNO mahu pilihan raya umum (PRU) pula diadakan dengan segera selepas ini.
Menyedari kepentingan PRN Johor dalam memastikan hala tuju dan ke arah mana yang bakal diputuskan UMNO selepas ini, strategi dan kekuatan jentera parti perlu digerakkan pada tahap optimum bagi melihat kemenangan yang besar seperti di Melaka.
Oleh sebab itu, ia tidak menghairankan apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak pelaburan yang tinggi dalam PRN kali ini dengan pelancaran penuh bergaya jentera Barisan Nasional (BN) dimana hampir seluruh ahli parti itu digerakkan ke negeri Selatan tanahair bagi membantu kemenangan mereka.
PRN Johor penting bukan hanya untuk survival UMNO tetapi juga perlawanan hidup dan mati bagi kumpulan kluster mahkamah, sekiranya tidak disegerakan PRU berkemungkinan puluhan pendakwaan yang dibicarakan di mahkamah melibatkan pemimpin kanan UMNO tidak akan dapat diselesaikan.
Malah, berkemungkinan pemimpin utama mereka seperti diketahui umum yang sudah disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman akan menghabiskan sisa hidup di sebalik tirai besi.
Lebih membimbangkan, Zahid juga sebenarnya sudah tidak dapat menunggu lebih lama lagi apabila mahkamah sebelum ini mengarahkan dirinya untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.
Keputusan tersebut sangat menimbulkan ketakutan buat Zahid, semestinya beliau tidak mahu lagi nasib yang sama menimpa Datuk Seri Najib Razak juga berlaku terhadapnya.
Bekas Perdana Menteri, Najib kini dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan bersabit kes rasuah dana SRC International Sdn Bhd, jika kalah hukuman penjara akan menantinya.
Jelas sekali, kes-kes mahkamah yang dihadapi pemimpin kanan UMNO ini semakin hampir ke penghakiman dalam masa terdekat dan pada masa sama sama ada secara kebetulan atau disengajakan, pelbagai usaha dan langkah sedang dilakukan bagi membawa negara berdepan satu lagi PRU.
Sumber memberitahu, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan memberi lampu hijau kepada pimpinan parti negeri itu untuk bersiap sedia menghadapi PRN bagi mencari mandat baharu mendirikan kerajaan lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi ketika ini.
Terdapat bantahan daripada beberapa ahli MT berhubung langkah tersebut, namun perkara itu tidak diendahkan Presiden parti memandangkan perkara yang lebih besar sedang dirancang selepas PRN Johor.
“Selepas menang besar PRN Johor sama seperti di Melaka, langkah seterusnya adalah mengadakan PRU.
“Strateginya adalah menunggu sehingga rakan parti yang berada dalam kerajaan menarik sokongan atau pembangkang membatalkan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kerajaan… Apabila ini berlaku, ia mudah untuk menyalahkan pembangkang sebagai punca PRU perlu diadakan dengan segera,” kata sumber.
Alasan sama juga akan diberikan seperti PRN Johor, UMNO akan berkata PRU perlu diadakan demi kestabilan politik sebagai menghalalkan cara, jelas sumber.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan PRN Johor dijangka memberikan impak yang besar terhadap Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Beliau berkata justeru itu, kemenangan dalam PRN Johor wajib dicapai, namun BN tidak boleh terlalu selesa berdasarkan kemenangan yang telah dicapai sebelum ini semasa PRN Melaka.
“Setiap pilihan raya berbeza-beza, setiap PRN dan setiap PRU bukan sama. Semua orang hendak lihat kita kalah di Johor.
“Semua parti hendak melihat UMNO yang lahir di Johor…mereka hendak kuburkan kita di negeri lahirnya UMNO. Maka tanggungjawab kita, wajib untuk kita bangkit dan pertahankan,” katanya dipetik laporan Bernama.
Dengan keyakinan yang tinggi dan pelaburan yang besar pada PRN Johor kali ini sama seperti di Melaka, dijangkakan kemenangan mudah bakal diperoleh UMNO memandangkan blok pembangkang yang juga sudah berpecah banyak.
Pertembungan banyak penjuru tidak dapat ditolak pasti akan berlaku pada PRN Johor dengan semua parti bakal bertanding pada PRN kali ini, ia termasuk parti baharu seperti MUDA, Pejuang dan beberapa parti lain yang juga mahu masuk bertanding nanti.