PRN Johor untuk pilih kerajaan lima tahun, pengundi jangan keliru

Pengundi jangan keliru dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan kali ini dengan menganggap boleh mengundi sekali lagi pada pilihan raya umum (PRU) untuk memilih kerajaan negeri yang baharu selepas ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan PRN pada 12 Mac adalah untuk memilih kerajaan yang akan memerintah selama lima tahun, sementara PRU yang diadakan adalah berbeza kerana ia bertujuan untuk memilih kerajaan pusat.

“Jangan silap tuan-tuan ini pilihan raya negeri nak memilih kerajaan lima tahun. Bukan sampai pilihan. umum nak diadakan setakat itu tidak.

“Ada orang salah faham. Tak apalah Tan Sri sekarang ini kita pilih sesiapa saja. Eh begitu pula. Kerana esok nak ada pilihan raya, itu pilihan raya umum. Untuk pilih kerajaan pusat, lima tahun ke hadapan, ini pilihan raya negeri untuk lima tahun ke hadapan… Jadi jangan salah kira,” kata Muhyiddin semasa ceramah Pentas PN yang diadakan di Felda Sri Ledang, Tangkak, Johor.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersatu sekali lagi mengulangi UMNO menjadi punca PRN diadakan walaupun sepatutnya ia boleh dielakkan dan rakyat tidak perlu disusahkan untuk mengundi, tetapi ia terpaksa juga diadakan kerana ketamakan kuasa Menteri Besarnya, Datuk Hasni Mohamad.

“Apa nak buat. Jadi tuan-tuan terpaksa berhimpun padahal hayatnya masih ada lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata pengundi perlu melihat PRN yang diadakan ini sebagai satu hikmah dan peluang terbaik bagi memilih PN untuk menerajui kerajaan negeri pada 12 Mac nanti.

“Kita yang ada di Felda ini dan juga di mana kawasan di Bukit Kepong ataupun di seluruh negeri Johor melihat ini sebagai suatu hikmah dalam telah pun terbubar Dewan Negeri ini ada hikmah.

“Hikmahnya apa? Ini satu peluang dan ketika yang amat penting untuk gunakan supaya kita akan bentuk kerajaan Perikatan Nasional di peringkat negeri Johor,” katanya lagi.

PRN Johor bakal menyaksikan banyak parti baharu akan membuat penampilan sulung mereka, antaranya parti MUDA, Pejuang dan Warisan yang masing-masing akan bertanding buat kali pertama di pentas pilihan raya.

BERITA BERKAIT
POPULAR