PRN Johor: PN tubuh jawatankuasa pantau pelaksanaan manifesto jika menang

Perikatan Nasional (PN) berjanji akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan manifesto ‘Demi Bangsa Johor’ jika gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan itu menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jawatankuasa itu akan memastikan lapan tunjang utama dalam manifesto berkenaan dilaksanakan sebagaimana yang dijanjikan.

Lapan tunjang Demi Bangsa Johor itu ialah:

1. Kepimpinan Berintegriti Dan Bebas Rasuah;
2. Keutuhan Ekonomi;
3. Keutamaan Tangani Kos Sara Hidup;
4. Keprihatinan Kepada Rakyat;
5. Kesejahteraan Sosial;
6. Kecekapan Infrastruktur;
7. Kerancakan Sektor Pelancongan; dan
8. Kelestarian Alam Sekitar.

Didalam lapan tunjang itu pula terdapat 24 strategi dan 145 pendekatan yang ditawarkan PN kepada bangsa Johor, yang akan dilaksanakan sekiranya PN menang PRN Johor dan berjaya membentuk kerajaan. Berita berkaitan 

Sebelum ini, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata Jawatankuasa Khas Pembangunan Ekonomi Johor akan diwujudkan sekiranya PN dapat mentadbir negeri Johor selepas 12 Mac ini.

Katanya, langkah menubuhkan jawatankuasa khas itu bagi membolehkan semua Ikrar PN Johor itu bukan sahaja berjaya direalisasikan, malah dipantau perkembangannya pada setiap masa.

“PN nak tunjuk komitmen dan kesungguhan kita terhadap apa yang kita ikrarkan. Kita tidak mahu membuat ikrar tetapi kemudian tidak melaksanakannya.

“Semua ikrar akan kita pastikan dipenuhi bukan seperti pentadbiran sebelum ini yang hanya memenuhi sebahagian janji mereka. Oleh itu, PN berharap Ikrar PN ini akan diterima baik pengundi,” katanya.

Sementara itu, berbaki tiga hari lagi kempen PRN Johor, Muhyiddin berkata PN sekarang ini lebih memfokuskan kepada kawasan ‘kerusi kelabu’ untuk meraih kemenangan.

Tanpa mendedahkan kawasan berkenaan, beliau berkata usaha yang lebih dan fokus perlu diberikan, terutama di selatan Johor.

“Momentum kempen bagus. Semua kawasan kami beri fokus terutama kawasan yang kami fikir perlu ada usaha lebih, kawasan kelabu. Di situ kami akan asak dengan ceramah dan bertemu pengundi secara bersemuka,” katanya hari ini.

BERITA BERKAIT
POPULAR