PRN Johor: Penceramah boleh buka pelitup muka ketika kempen

Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan semua penceramah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak perlu memakai pelitup muka ketika memberi ucapan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Menurutnya KKM telah mengesyorkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberi kelonggaran itu, lapor Bernama.

Beliau berkata bagaimanapun, kelonggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) itu hanya dibenarkan, sekiranya terdapat penjarakan fizikal yang sesuai dalam aktiviti berkempen.

“Saya telah bincang perkara ini dengan Bahagian Kawalan Penyakit KKM dan kita dapati kalau ada penjarakan fizikal yang sesuai, penceramah yang sedang memberi ucapan sahaja dibenarkan untuk membuka pelitup muka.

“Syor juga telah dikemukakan kepada SPR tetapi tentunya ia bergantung kepada KKM punya pandangan dan kita rasa berdasarkan kepada penilaian risiko, agak selamat kalau yang berucap itu sahaja buka pelitup muka seketika,” katanya hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung sama ada terdapat kelonggaran baharu terhadap SOP berkaitan aktiviti kempen pada PRN Johor, memandangkan banyak pihak terlibat dalam pilihan raya itu dikompaun sebelum ini.

Khairy turut berkata isu berkaitan SOP itu akan diteliti serta ditambah baik dari semasa ke semasa, kerana KKM dan SPR bersikap adil dalam hal ini sekiranya aduan atau pandangan yang diberikan adalah munasabah.

Hari pengundian PRN Johor ditetapkan 12 Mac ini manakala undi awal pada 8 Mac.

Khairy juga memaklumkan KKM membuat keputusan untuk menutup semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega mulai 16 Mac ini memandangkan penyewaan lokasi pusat itu membabitkan kos yang tinggi.

Beliau berkata pihaknya mendapati bahawa penyewaan lokasi PPV Mega tidak lagi ‘cost-effective’ memandangkan ia melibatkan dewan-dewan persidangan yang besar.

“Apabila kita menyewa dewan persidangan ini kita perlu bayar, bukannya percuma jadi kita dah guna sepenuhnya. Sekarang ini, tidak ada keperluan lagi untuk kita kekalkan PPV Integrasi ataupun PPV Mega,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR