PRN Johor peluang untuk rakyat tamatkan kleptokrasi di Malaysia

Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor untuk menamatkan kleptokrasi yang berleluasa di Malaysia dengan tidak mengundi UMNO yang dikuasa pemimpin terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Mantan Perdana Menteri (PM) itu berkata warga Johor perlu mengenali parti yang bertanding pada PRN Johor sekiranya mahu melakukan perubahan, ia terdiri daripada dua kumpulan iaitu kumpulan diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan satu lagi kumpulan parti kecil yang menentang rasuah.

“Jika kita ingin lihat perubahan kita perlu tahu siapa yang bertanding. Kita boleh bahagi parti-parti kepada dua kumpulan.

“Satu kumpulan lama yang telah ditewas dalam PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) kerana amat korup dan menghilangkan duit rakyat. Kumpulan ini dipimpin oleh Najib (Datuk Seri Najib Razak) yang telah dihadap ke mahkamah dan didapati bersalah. Bersamanya ialah Zahid.

“Yang melawan dengan parti pimpinan Najib dan sekutunya ialah parti baru yang tidak ada sejarah curi duit dan salah guna kuasa iaitu parti Pejuang Tanahair. Terdapat juga parti-parti yang kecil,” katanya dalam satu surat yang dihantar kepada pengundi Johor hari ini.

Dr Mahathir berkata parti dipimpinanya, Pejuang meletak calon jumlah calon yang cukup untuk menubuhkan sebuah kerajaan dan pengundi wajar memilih parti tersebut kerana kononnya sebuah parti yang bersih daripada rasuah.

“Di antara mereka hanya Pejuang yang meletak jumlah calon (42) yang mencukupi untuk diri Kerajaan.

“Pejuang dipimpin oleh tokoh lama yang tolak rasuah bersama pemimpin baru yang juga bersih dari rasuah.

“Jika Pejuang dipilih maka akan berlakulah pertukaran. Dan pertukaran ini adalah dari yang buruk kepada yang bersih. Negara akan bebas dari rasuah, sesuatu yang diperjuang oleh Pejuang,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, PRN Johor bakal menjadi teladan dan petunjuk besar kemungkinan yang akan berlaku pada PRU-15 depan nanti.

“PRN Johor inI boleh jadi teladan dan contoh kepada seluruh negara.

“Jika Johor tolak rasuah dan pilih yang bersih, besar kemungkinan dalam PRU-15 perkara yang sama akan berlaku. Dan akan tamatlah kleptokrasi di Malaysia yang tercinta ini. Sebaliknya dunia akan lihat kembalinya Harimau Asia (Asian Tiger),” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata perkara tersebut bukan suatu angan-angan dan menggesa rakyat Johor untuk memulakannya pada PRN yang akan berlangsung 12 Mac nanti.

“Ini bukan angan-angan. Ini mampu dilakukan oleh rakyat Malaysia, bermula dengan rakyat Johor.

“la akan menepati sejarah perjuangan orang Melayu 60 tahun dahulu yang menghasilkan Malaysia merdeka dan maju. Rakyat seluruh negara memerhati PRN Johor. Berilah panduan yang baik kepada mereka,” katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR