PRN Johor: PEJUANG tawar kerajaan penyayang

Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menawarkan sebuah kerajaan penyayang dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat, termasuk dari segi sosial, ekonomi dan pendidikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata tawaran itu selari dengan kehendak rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang prihatin terhadap keperluan mereka dan benar-benar membela nasib rakyat.

Memetik laporan BH beliau berkata, rakyat juga mahukan sebuah kerajaan yang tidak sibuk bermain politik kerana ia tidak mendatangkan manfaat buat mereka.

“Tawaran PEJUANG di Johor ialah sebuah kerajaan penyayang. Sebuah kerajaan penyayang bermaksud apa juga keperluan rakyat baik dari sosial, pendidikan dan ekonomi, kita kena betul-betul cari satu penyelesaian yang memberi impak kepada rakyat secara positif,” katanya hari ini.

PEJUANG yang tidak mengambil bahagian pada PRN Melaka dan Sarawak sebelum ini, mengumumkan akan bertanding di 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, secara solo.

Jumlah kerusi yang bakal ditandingi PEJUANG adalah yang tertinggi dalam kalangan parti pembangkang malah menyamai jumlah kerusi ditandingi UMNO dengan kesemuanya melibatkan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Mengulas lanjut, Mukhriz merayu semua pengundi termasuk di luar Johor tidak melepaskan peluang keemasan menghantar mesej melalui PRN yang mereka tidak boleh lagi bertoleransi dengan pihak yang menyalahgunakan kuasa secara angkuh.

Beliau berkata, PRN itu tidak terhad kepada kepentingan rakyat Johor malah sangat diperhatikan rakyat Malaysia kerana ia bakal memberi impak besar kepada suasana politik negara kerana dikatakan Dewan Rakyat segera dibubar jika Barisan Nasional (BN) menang dua pertiga.

Katanya, PRU-15 dalam masa terdekat bakal mendedahkan seluruh negara kepada penularan Covid-19 sewaktu sebahgian besar rakyat berdepan cabaran menyara keluarga.

“Saya sangat mengharapkan seramai mungkin rakyat Johor keluar mengundi, itu satu perkara sangat penting, kalau peratusan keluar mengundi tak lebih 65 peratus, kita boleh agak siapa menang.

“Tetapi kalau melebih 70 ke 75 peratus, saya rasa akan berlaku satu perubahan ke arah kebaikan bagi rakyat Johor, malah rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR