PRN Johor: Pejuang masih solo

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang ) dilaporkan menolak pelawaan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk gabungan besar berdepan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tidak lama lagi.

Menurut Presiden Pejuang Datuk Seri Mukhriz Mahathir, parti itu kekal untuk bertanding solo pada PRN berkenaan namun membuka ruang perbincangan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Beliau mengakui mengadakan perbincangan dengan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kerjasama itu tetapi belum dimuktamadkan lagi.

“Kalau menjadi kita boleh buat pengumuman dalam masa terdekat. Dan, dengan pihak lain, belum ada perbincangan mendalam. Contohnya dengan PH,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, terdapat perkara berkaitan prinsip yang menyukarkan untuk kerjasama di antara Pejuang dan PH.

“Kita lihat ada prinsip tertentu yang bukan setakat berbeza, tapi bertentangan di antara parti-parti dalam PH. Kita ada pengalaman itu. Waktu itu, memang kita ada agenda yang satu, iaitu untuk mengalahkan penyangak.

“Sekarang ini, bila kita saling mengenali, kita rasakan mungkin juga ada ruang kerjasama, walaupun tidak boleh dipupuk dalam satu bentuk gabungan. Mungkin kerjasama dalam bentuk lain,” katanya.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga berharap prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak tidak menyukarkan orang ramai untuk keluar mengundi.

Kita harapkan semua proses dipermudahkan. Kebenaran rakyat pulang ke Johor dari Singapura, mahupun mereka boleh mendaftar sebagai pengundi pos, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR