PRN Johor: Muhyiddin gesa SOP kempen dilonggarkan sedikit lagi

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Memberi contoh syarat mengadakan ceramah hanya di bilik gerakan parti sebagai tidak praktikal, beliau berkata ia akan menyukarkan orang ramai yang tinggal jauh untuk hadir.

“Ceramah kalau bilik di gerakan tak kan semua orang daripada seluruh Johor nak datang ke situ. Kalau satu kawasan yang ada lebih 30,000 pengundi macam macam hendak hubungi pengundi? Kena beri kelonggaran..calon harus dibenarkan pergi ke mana-mana untuk memperkenalkan diri.

“Tak praktikal bagi saya sedangkan majlis-majlis sosial boleh… buat kerja kahwin boleh. Apa beza majlis kahwin? Kita kawallah kalau kata seratus… seratus lah… tapi jangan buat satu tempat saja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan warga Felda Taib Andak, di Kulai, Johor dalam Majlis Ramah Mesra Warga Felda Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata SPR perlu memberi sedikit lagi kelonggaran bagi membolehkan langkah memperkenalkan calon berjalan lebih lancar.

“Macam ada sedikit kelonggaran tapi tak memadai. Dalam tempoh kempen tak panjang. Dua minggu nak perkenalkan calon orang tak kenal. Jadi kita nak minta supaya dipertimbangkan semulalah,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR