
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan ditawarkan kepada rakyat negeri itu adalah sesuatu yang realistik, tidak seperti Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu.
Beliau memberi bayangan beberapa tawaran di dalam manifesto PN untuk PRN Johor, antaranya masalah generasi kedua Felda, isu ekonomi, peluang pekerjaan, inflasi, kos sara hidup, kenaikan harga barangan, serta pendidikan.
Malah katanya, jika PN memerintah setelah PRN itu siapa pun yang menjadi Menteri Besar tidak penting, sebaliknya pakar-pakar ekonomi akan disediakan untuk membantu meningkatkan ekonomi Johor.
“Kami kalau dah terbentuk kerajaan, janji yang kita buat, kita akan laksana dan kita akan tunaikan. Macam contoh… isu penting soal generasi kedua Felda yang tak ada rumah. Tak cukup…
“Saya tahu di kawasan saya pun saya dah bina beberapa rumah… skim generasi kedua tapi bukan saja di negeri Johor tapi tempat-tempat lain bermasalah.
“Jadi untuk Johor insya-Allah bila diberikan peluang untuk mentadbir Johor antara perkara yang kita akan laksanakan secara lebih luas ialah menyediakan peluang perumahan generasi kedua untuk anak-anak peneroka Felda di seluruh negeri Johor,” katanya pada ceramah di Pentas PN DUN Bukit Kepong, Tangkak, malam tadi.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri turut memberi jaminan untuk menyediakan peluang pekerjaan, khususnya bagi penduduk Johor yang kini terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Soal ekonomi,sekarang terkesan kerana masalah pandemik… kita tak boleh bekerja… tak ada pekerjaan.. di Johor tinggi. Itu satu perkara yang PN akan berikan keutamaan. Macam mana cara kita nak mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan.
“Kita nak sediakan peluang-peluang pekerjaan… macam mana cara saya tahu macam mana mewujudkan peluang kerja. Waktu saya jadi Perdana Menteri, kita janji nak wujudkan lebih 500,000 peluang pekerjaan.
“Sewaktu saya meninggalkan kerajaan, hari itu sudah hampir 400,000 peluang kerja tercapai. Kita wujudkan peluang pekerjaan di waktu itu. Saya tak tahu sama ada diteruskan lagi atau tidak.
Muhyiddin berkata PN akan meneliti secara lengkap tawaran baharu yang realistik dan akan dikemukakan kepada rakyat Johor pada PRN negeri 12 Mac depan.
“Masa zaman saya jadi Perdana Menteri kita telah menyediakan peruntukan RM850 bilion dalam lapan pakej rangsangan yang saya kira berjuta-juta rakyat Malaysia tak kira apa kaum dan keturunan dapat.
“Dapat bantuan prihatin, bantuan bakul, bantuan macam-macam sampai hari ni masih berterusan. Kerana apa? Saya sedar bahawa masalah rakyat agak susah, tak ada barang nak makan, pendapatan dah merosot, tak ada apa.
“Jadi langkah yang saya buat waktu saya jadi Perdana Menteri ialah untuk menguruskan hal sebegini dikatakan kerajaan kita kerajaan yang prihatin. Dengan masalah rakyat jelata. Itu yang kita lakukan.
“Dan kita bagi jaminan. Menang… insya-Allah kita akan cari jalan supaya wujud satu pentadbiran kerajaan yang sentiasa prihatin tentang masalah rakyat,” katanya.