PRN Johor: MUDA, PH bekerjasama

Kunjungan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ke atas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, ‘mengesahkan’ kedua-dua parti itu akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Selain berbincang strategi bagi berdepan lawan pada PRN itu, kedua-duanya turut berbincang mengenai isu masa depan dan pembangunan anak muda di Malaysia.

Kunjungan itu sekali gus mengesahkan desas-desus sebelum ini yang mengatakan MUDA akan bekerjasama dengan PH pada PRN Johor.

Dalam ciapan di Twitternya hari ini, Anwar bagaimanapun tidak menjelaskan berhubung jumlah kerusi yang bakal diberikan kepada MUDA.

Menurut Anwar dalam pertemuan itu mereka berbincang soal masa depan dan pembangunan anak muda di Malaysia.

“Pagi tadi saya dikunjungi Presiden MUDA dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di pejabat.

“Kami berbincang soal masa depan dan perihal pembangunan anak muda di negara ini.

“Kami juga turut menyentuh tentang strategi dan perjalanan PRN Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi,” kata Anwar.

Terdahulu, Parti MUDA menyatakan hasrat mahu bertanding 10 kerusi pada PRN Johor.

Pengerusi MUDA Johor, Mohd Azrol Ab Rahani, sebelum ini berkata parti itu akan meletakkan semua calon di 56 kerusi DUN jika bertanding solo.

“Jika bertanding solo, kita yakin boleh menang di beberapa kerusi DUN di Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar, namun seandainya kerjasama politik wujud membabitkan MUDA kita menyasarkan lebih daripada 10 kerusi yang diyakini mempunyai kelebihan buat kami,” katanya.

Bagaimanapun, PH sudah memuktamadkan gabungan itu akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan PKR mendapat jumlah kerusi paling banyak untuk mereka bertanding nanti.

Majlis Presiden PH berkata, gabungan itu yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP turut bersetuju berunding dengan MUDA berhubung pembahagian kerusi.

Suruhanjata Pilihan Raya (SPR) akan bermesyuarat Rabu ini bagi menetapkan tarikh penamaan calon, undian awal dan hari pengundian, serta prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Johor.

BERITA BERKAIT
POPULAR