PRN Johor: Manifesto BN bukan janji

Barisan Nasional (BN) yang melancarkan manifesto Ikhtiar BN Johor hari ini, tidak memberi jaminan lima perkara yang ditawarkan kepada bangsa Johor akan dilaksanakan sepenuhnya.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad berkata kelima-lima ikhtiar itu adalah untuk mencapai dan menyokong matlamat utama BN negeri dalam menjadikan Johor sebuah negeri makmur didukung naratif politik baharu yang matang serta stabil.

“Kita tidak berjanji. Kita berikhtiar dan ikhtiar-ikhtiar kita akan terus dikembang dan diperkasakan semata-mata untuk kemakmuran Johor Darul Takzim,” katanya memetik laporan Bernama.

Inisiatif lain antaranya adalah pinjaman tanpa faedah RM100 juta Bank Rakyat dan pelbagai bantuan kewangan tahunan menerusi Johor Niaga kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di bawah ikhtiar kemajuan ekonomi, lapor Bernama.

Menurut Hasni, dalam tempoh lima tahun, BN akan mengembalikan kehebatan ekonomi Johor yang pernah menjadi penyumbang tertinggi kepada keseluruhan pelaburan Malaysia.

“Melalui Johor Berdaya Saing, BN Johor akan melaksanakan sembilan inisiatif yang bakal melonjakkan ekonomi negeri Johor, antaranya dalam bentuk fasilitasi pelaburan dan pembangunan sosioekonomi daerah mengikut kearifan serta potensi tempatan,” katanya pada majlis pelancaran Ikhtiar BN Johor yang dibuat secara maya.

Beliau juga berkata menerusi Johor Berkebajikan di bawah kesejahteraan rakyat, lapan inisiatif akan dilaksanakan termasuk pemberian bantuan kewangan tahunan RM150 kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga berpendapatan RM3,001 hingga RM7,000.

Beliau berkata kos penjagaan anak juga akan dikurangkan dengan perluasan taska milik Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) dengan menawarkan yuran penjagaan anak berpatutan kepada rakyat Johor.

“BN Johor kekal komited untuk menegakkan syiar Islam dan kemajmukan Johor melalui enam inisiatif antaranya menaik taraf Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) ke status Kolej Universiti dan memperluas cukai tanah nominal yang kini diberikan kepada masjid dan surau kepada rumah ibadat bukan Islam.

Menurutnya, BN Johor akan meningkatkan kualiti hidup masyarakat desa dengan lima inisiatif antaranya memudah cara pembinaan perumahan generasi baharu Felda dan melantik wakil kerajaan negeri dalam Lembaga Felda.

BERITA BERKAIT
POPULAR