
Penerangan PAS Pusat, Senator Khairil Nizam Khirudin.
Jangka hayat politik Barisan Nasional (BN) kini sudah berada di garisan penamat, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Sabtu ini, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Khairil Nizam Khirudin.
Menurutnya rakyat Malaysia, khususnya bangsa Johor yang akan berdepan PRN 12 Mac ini, sudah matang dan celik dalam politik.
“Mereka telah merasai kepimpinan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negeri Johor.
“Ternyata PH telah menjadikan 22 bulan di era mereka itu sebagai mimpi ngeri yang tidak ingin diulangi lagi oleh rakyat Malaysia. Malaysia seperti telah hilang identiti dan tercalar imejnya angkara ‘kehebatan’ Kerajaan PH.
“UMNO pula, sedihnya mereka telah tergelincir daripada landasan agenda besar penyatuan ummah yang kita gagaskan bersama dalam Muafakat Nasional.
“Mereka rakus dan tamak dengan kuasa politik serta gelojoh ingin menggunakan pengaruh kuasa politik sebagai ‘exit plan’ kepada perbicaraan kes pemimpin-pemimpin mereka. Mereka sebenarnya telah hilang kepercayaan kepada institusi kehakiman negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Khairil mengajak bangsa Johor membuat pilihan terbaik memilih parti yang mempunyai integriti tinggi, cekap dan terbukti prihatin kepada keperluan rakyat.
“Saya rayu kepada semua pengundi Bangsa Johor untuk keluar menunaikan tanggungjawab anda. Keluarlah mengundi, baliklah mengundi pada Sabtu ini, kita tamatkan riwayat parti-parti yang telah menggunakan rakyat untuk kepentingan mereka sendiri. Kita pilih yang berintegriti, cekap dan prihatin,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata Pengerusi PN memang berdosa kepada UMNO dan disebabkan itu pemimpin UMNO beria-ia berkomplot menjatuhkan beliau daripada jawatan Perdana Menteri.
“Apakah beliau dikira berdosa kerana meluluskan Pakej-pakej membantu rakyat menghadapi wabak Covid-19 sebanyak RM850 bilion melalui PRIHATIN sehingga PEMERKASA+?
“Apakah beliau dikira berdosa kerana menghapuskan RM8.3 bilion hutang-hutang Peneroka Felda? Apakah beliau dikira berdosa kerana menyediakan peluang pekerjaan sebanyak 400,000 ketika pandemik melalui Majlis Pekerjaan Negara?
“Jawapannya, tidak! (sebaliknya) beliau berdosa kepada UMNO adalah kerana tidak mahu campur dalam urusan perbicaraan kes mahkamah pemimpin-pemimpin UMNO,” katanya.
Menurutnya sambutan bangsa Johor terhadap PN semakin meningkat malah protes rakyat menolak BN/UMNO dan PH kini amat meriah.
“Sambutan memang luar biasa dan lain macam auranya. Ini juga adalah isyarat awal daripada rakyat bahawa jangka hayat politik BN kini sudah berada di garisan penamatnya,” katanya.