PRN Johor gelanggang wanita bangkit buat perubahan besar

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah masa yang tepat di mana wanita menunjukkan mereka menjadi kuasa penentu dalam pembentukan sebuah kerajaan yang berintegriti, cekap dan prihatin rakyat.

Menurutnya dalam sistem demokrasi berparlimen kuasa ada di tangan rakyat untuk menentukan masa depan mereka sendiri bagi memilih sebuah kerajaan yang berwibawa.

“Dengan rakyat memberikan undi dan sokongan kepada mana-mana parti-parti politik yang mereka percaya boleh memimpin mereka membentuk sebuah kerajaan yang baik untuk majukan negara.

“Walaupun PRN Johor ini sebenarnya tidak perlu diadakan, tetapi ada hikmahnya untuk wanita menjadikan ia sebagai waktu yang tepat bagi menunjukkan kuasa memilih sebuah kerajaan yang terbaik.

“Dan, sudah tiba masanya untuk wanita membuktikan mampu membina satu kerajaan yang diyakini dan percaya, boleh membela nasib rakyat.

“Yang tidak rakus kuasa, tidak melibatkan diri daripada bentuk penyalahgunaan kuasa, tidak berbuat sesuatu yang dianggap sebagai rasuah yang boleh menjahanamkan negeri dan negara,” kata beliau Program Kembara Hari Wanita 2022 Bersama Pengerusi Majlis Pemulihan Negara di Muar, hari ini.

Hadir sama Ketua Wanita PN yang juga Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Sehubungan itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menggesa wanita di Johor memberi sokongan kepada PN pada PRN Johor, Sabtu ini.

Beliau berharap Covid-19 tidak dijadikan alasan pengundi tidak mahu keluar pada hari pengundian, sedangkan prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan dan perlu dipatuhi.

“Jadi seramai mana yang ada hak untuk mengundi, keluar lah mengundi. Setidak-tidaknya 75 hingga 90 peratus keluar mengundi. Di situlah hak untuk membentuk sebuah kerajaan yang terbina atas kuasa rakyat yang majoriti menentukan apa kerajaan yang mereka mahu,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan tujuan pilihan raya adalah untuk memilih sebuah kerajaan yang mampu memberi perkhidmatan terbauk kepada rakyat.

“Yang penting ialah untuk membentuk sebuah kerajaan yang berintegriti, yang cekap dan prihatin rakyat. Itu yang paling penting.

“Mengundi ini untuk apa? Kalau setakat nak mengundi untuk cari orang menjadi perompak, jadi Perdana Menteri dan Menteri Besar. Itu soal lain tapi nak bina sebuah kerajaan yang dipimpin oleh seorang ketua kerajaan yang berhemah tinggi yang beramanah, berintegriti, bertanggungjawab, itu yang kita buat.

“Sebab itu sebelum kita memangkah kita nak tahu, kuasa penentu kita ini untuk mencari kerajaan yang kita mampu percaya. Yang ada bukti bahawa kerajaan itu bersedia untuk memikul amanah dan tanggungjawab, kerajaan yang tak pecah amanah kerajaan yang tidak akan merompak harta rakyat, berbilion-bilion ringgit macam yang dilakukan oleh setengah pemimpin negara kita,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR