PRN Johor: Dua DUN berdepan pertandingan tujuh penjuru

Proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berjalan lancar dan ditutup tepat jam 10 pagi tadi setelah dibuka jam 9 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam kenyataan hari ini berkata seramai 239 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam PRU Dewan Negeri Johor (DUN) Johor Ke-15.

Proses penamaan calon hari ini dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan, dengan semua calon hanya tiba di Pusat Penamaan Calon bersama seorang penyokong dan pencadang.

SPR juga menerima dan mengesahkan sebanyak 239 Kertas Penamaan yang layak bertanding bagi pilihan raya itu membabitkan, masing-masing 56 bagi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN); Pejuang (42); Pakatan Harapan (30); PKR (20); Bebas (16); MUDA (tujuh); WARISAN (enam); PBM )empat); dan masing-masing satu dari PUTRA serta PSM.

Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh juga memaklumkan 35 kerusi DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru; lapan DUN (lima penjuru); tujuh DUN (tiga penjuru); empat DUN (enam penjuru); dua DUN (tujuh penjuru).

Seramai 202 daripada calon berkenaan adalah lelaki, manakala 37 lagi wanita, katanya.

Dari segi umur calon pula, SPR berkata 72 daripada mereka berusia 40 hingga 49 tahun; 64 (50-59 tahun); 52 (30-39 tahun); 43 (60 tahun dan ke atas); dan lapan calon berusia 18 hingga 29 tahun.

Calon tertua berusia 71 tahun mewakili PN bagi DUN N50 Bukit Permai iaitu Haji Tosrin Jarvanthi, manakala calon paling muda berusia 26 tahun mewakili Barisan Nasional di DUN N28 Mengkibol, dan calon PEJUANG di DUN N10 Tangkak.

Pada masa sama, beliau juga sekali lagi mengingatkan tempoh berkempen bermula selepas perisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga jam 11.59 malam, 11 Mac 2022.

“SPR telah menubuhkan 56 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen.

“Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding,” katanya.

Abdul Ghani juga mengingatkan bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan.

SPR juga memaklumkan SOP Pencegahan Covid-19 bagi PRN itu telah diluluskan dan akan dilaksanakan dengan ketat di semua proses penjalanan pilihan raya iaitu proses cetakan dan semakan kertas undi, pengeluaran dan pengiraan kertas undi pos, semakan isi peti undi, sepanjang tempoh berkempen, hari mengundi dan penjumlahan rasmi undi.

BERITA BERKAIT
POPULAR