
Pilihan raya di enam negeri dijangka diadakan pada Julai tahun ini.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan merancang membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 1 Jun depan, bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengumumkan demikian menyusul selepas rakan sejawatnya di Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menjangkakan pembubaran DUN di negeri itu selepas pertengahan Jun depan.
Aminuddin berkata, perkara itu akan dimaklumkan kepada Majlis Presiden PH akan datang dan terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menetapkan tarikh PRN di Negeri Sembilan serta lima lagi negeri lain.
“Pembubaran DUN pada tarikh berkenaan paling sesuai kerana akhir Mei adalah tempoh akhir (DUN Negeri Sembilan)…jadi selepas Mei atau Jun, ok tiada masalah.
“Mungkin kita (Negeri Sembilan) lebih awal seminggu dua (bubar DUN), itu adalah sesuai. Bermakna kita akan bersama (dengan negeri lain) mengadakan pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tahun Baharu Cina 2023 Bersama Sunrise MCL Land di Pejabat Sunrise MCL Land, Forest Height, Senawang, di Seremban, hari ini (2 Januari 2023).
Semalam, Muhammad Sanusi memberi bayangan DUN Kedah akan dibubarkan selepas 18 Jun depan dengan beberapa faktor diambil kira.
Menteri Besar Kedah itu berkata, ini termasuk sambutan Ramadan, Aidilfitri, tempoh ibadat haji serta Aidiladha dan Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah, yang menyebabkan pihaknya berpandangan DUN Kedah tidak sesuai dibubarkan ketika ini.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR, mengakui setakat ini pihaknya tidak dihubungi menteri besar atau ketua menteri dari lima lagi negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, mengenai penetapan tarikh PRN berkenaan.
“Kita akan hadir mesyuarat menteri-menteri besar hujung bulan ini, jadi kita akan bincang secara tidak formal apabila semua bertemu,” katanya.
Enam Negeri – Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan – yang masing-masing ditadbir PH dan PN akan mengadakan PRN masing-masing setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15, November tahun lalu.