
PRN di enam negeri tahun ini bakal menguji kesepakatan dalam kalangan jentera pilihan raya parti gabungan Pakatan Harapan dan UMNO, khusus sama ada UMNO akan membantu calon DAP atau sebaliknya.
Pakatan Harapan (PH) Selangor tidak akan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenanginya di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kepada Barisan Nasional (BN), termasuk UMNO.
Ini ditegaskan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat AMANAH – parti komponen PH – Sany Hamzah, sambil menjelaskan gabungan itu akan mempertahankan semua kerusi dimenanginya, walaupun kini sudah bekerjasama dengan UMNO.
Menurutnya beliau difahamkan setakat ini PH tidak akan memberi laluan kepada BN, termasuk UMNO, di kerusi DUN yang dimenangi gabungan itu pada PRU 2018.
Kerusi yang akan dibincangkan (dengan BN) membabitkan kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN),” katanya menurut FMT. Selangor mempunyai 56 kerusi DUN.
Pada PRU-14 lalu, dua parti komponen PN, iaitu Bersatu memenangi enam kerusi DUN, manakala satu oleh PAS.
Terdahulu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Datuk Mohd Shahir menjelaskan PRN di enam negeri dalam tempoh beberapa bulan lagi akan menguji kesepakatan PH-UMNO pada peringkat Persekutuan sekarang.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada dalam kalangan parti PH dan BN, khususnya UMNO, akan bertolak ansur untuk menyerahkan kerusi tradisi masing-masing untuk berdepan PN.
Sementara itu, mengulas lanjut, Sany yang juga ADUN Taman Templer berkata PH dan BN memerlukan situasi menang-menang dalam semua rundingan pembahagian kerusi serta faktor yang akan diambil kira seperti jentera, kewangan dan calon.
Beliau berkata sebelum kerajaan PH-BN ditubuhkan, parti yang menganggotai PH sudah pun berunding mengenai peruntukan kerusi.
Sany turut menjangkakan DUN Selangor bakal dibubarkan Mei dengan pilihan raya pada bulan berikutnya.
Pilihan raya negeri di negeri ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta Kedah, Kelantan serta Terengganu yang ditadbir PAS bakal diadakan pada tahun ini.