
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional di Negeri Sembilan.
Perikatan Nasional (PN) berhasrat menawan tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sekarang, sambil mengekalkan pemerintahan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), yang bakal diadakan dalam beberapa bulan lagi.
Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang berharap ‘gelombang hijau’ yang muncul pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu akan terus bersemarak.
“Apa yang penting ialah kita (PN) memanfaatkan gelombang perubahan PRU-15 untuk kita menawan semua enam negeri dalam PRN akan datang,” katanya dalam kenyataan sempena Semarak Gelombang Rakyat Bersama Perikatan Nasional di Negeri Sembilan.
Ketiga-tiga negeri yang sekarang ini berada di bawah pentadbiran PH ialah Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Semua enam negeri itu perlu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi mengadakan PRN setelah tidak menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.
Untuk rekod, sebanyak 245 kerusi DUN di enam negeri itu bakal dipertandingkan. Ia melibatkan 56 kerusi DUN di Selangor, diikuti Kelantan (45); Pulau Pinang (40); Negeri Sembilan (36); Kedah (36); dan Terengganu (32).
Pada sambutan itu, Abdul Hadi yang juga Presiden PAS turut menyerahkan sijil keahlian kepada bekas pemimpin dan ahli UMNO yang menyertai PAS baru-baru ini.
Mereka termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Seri Prof Dr Mohammad Fairus Khairudin; bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Zool Amali Hussin; penyanyi Dayangku Intan, serta ratusan bekas ahli UMNO yang telah menjadi ahli PAS.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Marang itu berkata bagi mewujudkan perpaduan yang adil kepada seluruh rakyat, Islam mestilah menjadi pemimpin.
“Mengapa Islam mesti memimpin? Hal ini kerana dalam Islam terdapat perhitungan dosa dan pahala bagi setiap perkara.
“Bukan sahaja dalam masalah amalan-amalan ibadah sahaja malah termasuk dalam bidang pentadbiran juga terdapat pembahagian dosa dan pahala,” katanya.
Abdul Hadi memberi contoh bagaimana keluarga Cina boleh hidup dengan aman dan harmoni di Kelantan, Terengganu dan Kedah, tanpa berlaku sebarang masalah perkauman.
“Kita mengharapkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) serta parti-parti gabungan seperti GERAKAN dapat memainkan peranan untuk mengubah pemikiran pengundi-pengundi bukan Islam,” katanya.