
Veteran UMNO yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas enam penggal Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran sebagai pemimpin tiada otak.
Bekas menteri UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran sebagai pemimpin tiada otak, apabila membidas kenyataan melabelkan beliau sebagai ‘pelacur politik’.
Malah, Ahli Parlimen Padang Rengas itu menyindir Vigneswaran sambil mengatakan mereka yang tewas beberapa kali di satu-satu kawasan pilihan raya kemudian mencari dan bertanding di kawasan selamat dengan harapan boleh menang, sebenarnya ‘pelacur politik’.
Nazri memberitahu Vigneswaran bahawa beliau telah enam penggal menang di Padang Rengas dan tidak pernah cuba untuk mencari tempat baharu yang lebih selesa dan selamat.
“Saya ada dengar orang yang sudah kerap kali kalah di Kota Raja sekarang sedang berusaha mahu bertanding di Sungai Siput (Perak). Orang macam inilah sebenarnya ‘pelacur politik’, sudah ditolak pengundi tetapi masih tidak sedar diri.
“Lebih baik hanya jadi Ketua Bahagian di Padang Rengas dan menang enam penggal Pilihan Raya Umum (PRU) berbanding jadi Presiden sebuah parti tetapi kalah dua tiga kali dan sedang ‘melacur’ untuk dapatkan tempat lain.
““Jenis yang kalah beberapa kali di satu-satu tempat dan mengintai peluang tempat lain bukan setakat ‘pelacur’ tetapi juga pengecut kerana lari dari kawasan.
“Pada saya, kenyataan yang dibuat oleh Vigneswaran itu bukan lagi menampakkan MIC seperti pengemis tetapi menunjukkan dia seorang Presiden yang tidak ada otak,” katanya memetik laporan Awani hari ini.
Vigneswaran, menyertai MIC pada awal 1980-an di Pelabuhan Klang sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Kota Raja pada PRU 2004, tetapi kalah kepada PAS di kerusi sama dalam PRU-12 pada 2008.
Sebelum ini, Vigneswaran meminta Barisan Nasional (BN) memberikan MIC kerusi yang mempunyai peratusan tinggi untuk menang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mengulas lanjut, Nazri berkata Presiden MIC itu sepatutnya memberi penjelasan kepada masyarakat India berhubung isu Mitra yang hingga kini masih tidak ada jawapan jelas.
Katanya, jika Presiden MIC gagal memberi penjelasan berkenaan Mitra, masyarakat India tidak akan memberi sokongan kepada MIC dan BN.
“Mitra adalah usaha kerajaan untuk membantu masyatakat India tetapi hingga hari ini isu tersebut tidak dapat dijawab oleh MIC. Isu ini yang menyebabkan masyarakat India hilang keyakinan terhadap MIC dan BN hingga sanggup menyokong parti lain seperti Pakatan Harapan,” katanya.
Selain itu, Nazri turut mengingatkan peruntukan kerajaan yang diberikan kepada MIC untuk menyediakan kursus kepada masyarakat India selepas penularan pandemik Covid-19.
Menyanggah hujah Vigneswaran berhubung kemenangan MIC dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, Nazri menyifatkan presiden MIC itu berada dalam dunia khayalan.
Kemenangan yang diperoleh itu kata Nazri kerana sokongan orang Melayu terhadap UMNO bukan disebabkan kehebatan MIC.
“Mereka menang di kerusi yang majoriti pengundinya orang Melayu… jadi menang lah sebab orang Melayu kembali menyokong UMNO. Bila parti komponen BN bertanding, orang Melayu beri undi sebab anggap ini kawan UMNO.
“Kalau hebat sangat sepatutnya MIC minta kerusi-kerusi yang majoritinya pengundi India, kalau menang baru boleh kata masyarakat India sudah kembali menyokong MIC,” katanya.
Pada Sabtu, Vigneswaran berkata partinya tidak risau dengan kenyataan Nazri yang menyifatkan MIC sebagai pengemis yang menang dalam pilihan raya atas ihsan UMNO.