
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi pilihan sama ada memilih untuk membubarkan Parlimen segera atau berdepan pemecatan dari UMNO, menurut laporan sebuah portal.
Portal Malaysiakini dalam laporannya mendakwa Ismail Sabri ditekan semasa mesyuarat Biro Politik UMNO berlangsung baru-baru ini dengan penuh tegang, malah desakan bubar Parlimen dan sehingga ancaman pemecatan dibangkitkan dalam mesyuarat parti tersebut.
Menurut laporan itu lagi, majoriti pemimpin UMNO yang hadir semasa mesyuarat tersebut tidak berpuas hati selepas Datuk Seri Najib Razak dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Persekutuan pada Selasa lalu.
Memetik sumber yang tidak dinamakan, portal itu juga mendakwa suasana tegang sepanjang mesyuarat tersebut berlangsung sehingga ada yang meninggikan suara kepada Ismail Sabri.
“Ismail Sabri berdepan tekanan dalam mesyuarat itu berhubung hukuman penjara yang dikenakan terhadap Najib kerana dia tidak membantu atau campur tangan.
“Oleh itu perdana menteri digesa supaya segera mengadakan PRU ke-15, itu antara tuntutan pemimpin UMNO pada malam itu.
“Beliau juga diberi kata dua dan bakal berdepan tindakan lanjut, termasuk dipecat,” kata sumber dipetik portal itu.
Untuk rekod, Ismail Sabri juga dilaporkan hadir pada mesyuarat Biro Politik pada malam Rabu itu, sehari selepas Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Ismail Sabri sebelum ini pada Isnin tidak menghadiri taklimat bersama Ketua-Ketua Bahagian UMNO selepas dipanggil Zahid, ia sehari sebelum keputusan SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib di Mahkamah Persekutuan.
Dijangka minggu ini para pemimpin utama UMNO akan lebih sibuk dan terpaksa bekerja lebih masa susulan “Raja Media Sosial” parti itu sudah berada dalam penjara; UMNO seakan hilang seorang jeneral yang sangat penting terutamanya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang boleh diadakan pada bila-bila masa atau sebelum September 2023.
Dalam perkembangan lain, UMNO juga akan mengadakan satu taklimat khas dengan jemputan rasmi dihantar kepada seluruh pemimpin akar umbi seluruh negara untuk hadir ke perhimpunan pada Sabtu.
Menurut sumber, perhimpunan pada Sabtu bakal digunakan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai referendum parti itu bagi mendesak Ismail Sabri segera membubarkan Parlimen dan memberi laluan PRU-15 diadakan.