
Tangkap layar video kekecohan ceramah MUDA di Muar, Johor pada PRU-15 lalu. Ahli DAP mendakwa kejadian itu dilakukan Pemuda UMNO.
Seorang ahli DAP – parti yang kini bekerjasama dengan UMNO – Noor Suhana Ishak dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Putrajaya bagi memberi keterangan susulan hantaran Twitter yang dibuat mendakwa Pemuda UMNO melakukan kekecohan ketika ceramah parti MUDA pada kempen PRU-15 tahun lalu.
Noor Suhana berkata, dia dipanggil memberikan keterangan selepas Pemuda UMNO Muar membuat laporan polis kerana menyifatkan hantaran Twitter berkenaan adalah fitnah.
“Saya akan hadir ke IPD Putrajaya pada 26 Januari ini bersama peguam saya bagi memberikan keterangan.
“Pegawai penyiasat dari IPD Muar akan hadir ke sana,” kata Noor Suhana yang juga pembantu kepada Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman, menurut FMT.
Pada 16 Oktober tahun lalu, Noor Suhana mendakwa Pemuda UMNO Muar terlibat dalam kekecohan yang berlaku ketika ceramah MUDA di Parit Jawa, Muar.
Beliau membuat kenyataan itu di akaun Twitter miliknya.
Sehari selepas itu, Ketua Pemuda UMNO Muar, Mohd Helmy Abd Latif membuat laporan polis terhadap Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan beberapa pemimpin parti berkenaan yang membuat tuduhan tidak berasas terhadap sayap parti itu.
Laporan polis itu dibuat berikutan Syed Saddiq dan beberapa pemimpin MUDA mendakwa Pemuda UMNO terlibat membuat provokasi dan kekacauan ketika Ceramah Mega Muar anjuran parti berkenaan di Parit Jawa.