
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Johor, Chew Chong Sin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim melonggarkan kod etika pakaian orang awam di jabatan kerajaan.
Rakan baik dan setia UMNO, DAP, mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melakukan perubahan dengan melonggarkan kod etika berpakaian orang awan di jabatan kerajaan.
Menerusi surat terbuka dalam hanya tulisan Cina di Facebooknya kepada Anwar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Johor, Chew Chong Sin berkata pengecualian perlu diberikan untuk urusan penting atau kecemasan, termasuk di balai polis dan hospital.
“Kelonggaran juga patut diberikan sekiranya ia melibatkan faktor kesukaran seperti jarak rumah yang jauh, kesesakan lalu lintas, atau faktor kesuntukan masa.
“Pertimbangan dan budi bicara ini perlulah dipraktikkan dengan sifat rahmah dan empati, terutamanya oleh pegawai yang bertugas,” katanya menurut laporan Mkini.
Gesaan itu dibuat susulan kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Selangor pada 30 Januari lalu, di mana usaha seorang wanita membuat laporan polis mengenai kemalangan jalan raya ditolak kerana dia memakai seluar pendek.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bagaimanapun menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai “salah faham”.
Mengulas lanjut Chew berkata tindakan anggota polis berkenaan melanggar Seksyen 107(4) Kanun Tatacara Jenayah, yang menetapkan bahawa pegawai polis mempunyai tanggungjawab untuk menerima semua maklumat atau laporan berkaitan pelanggaran undang-undang di negara.
Katanya, terdapat juga kes yang waris pesakit tidak dapat berurusan di hospital, walaupun ia adalah kecemasan kerana keperluan mematuhi kod pakaian.
Sementara itu, Persatuan Bertindak Semua Wanita (Awam) berkata etika berpakaian hanyalah garis panduan dan tidak mempunyai kuasa undang-undang.
Oleh demikian, katanya, agensi kerajaan tidak boleh menafikan perkhidmatan mereka kepada orang awam berdasarkan pakaian mereka.
“Sekiranya anda dinafikan perkhidmatan atau menerima kata-kata diskriminasi berdasarkan pakaian anda, anda boleh membuat aduan di agensi kerajaan atau saluran pelaporan jabatan yang berkaitan.
“Sentiasa ingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bangga dengan pelbagai etnik dan budaya – maruah diri dan menghormati budaya lain mesti diberi pertimbangan sewajarnya,” kata Awam dalam satu kenyataan semalam.
Kumpulan itu juga menyatakan bahawa tiada kod pakaian standard yang diamalkan di semua balai polis, dan notis lazimnnya hanya diberikan kepada pelawat apabila mereka menjejakkan kaki di balai polis atau premis kerajaan lain berkenaan.
5 Februari lalu (Ahad), Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii mengkritik tindakan polis berkaitan tatacara berpakaian sambil menyifatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan ‘polis moral’.
Kelvin berkata tanggungjawab polis adalah untuk menjaga keselamatan komuniti dan bukannya menjadi “polis moral komuniti” lebih – lebih lagi apabila melibatkan keselamatan rakyat.