PN tanding 28 kerusi untuk tubuh kerajaan tanpa kerjasama parti lain

Langkah Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, antara lain bagi menunjukkan bahawa gabungan itu serius untuk membentuk kerajaan negeri yang bersih tanpa kerjasama pihak lain.

Selain memastikan akan wujud sebuah kerajaan negeri yang adil, saksama, berintegriti, menentang rasuah dan menolak penyelewengan, PN, khususnya Bersatu tidak memerlukan ihsan UMNO untuk menjalin kerjasama menghadapi pihak lain.

Perkara ini diakui Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen sambil menegaskan ketiga-tiga parti utama dalam gabungan itu – Bersatu, PAS dan Gerakan – yang akan menghadapi PRN Melaka sentiasa berusaha mengukuhkan PN.

Beliau yang juga calon PN bagi kerusi DUN N23 Telok Mas berkata, pendirian UMNO untuk menerima PAS jika Barisan Nasional (BN) menang PRN Melaka dibuat atas hak UMNO.

Sebaliknya beliau yakin PAS tetap memilih kekal bersama PN walaupun mengetahui UMNO yang membentuk persefahaman dengan parti Islam itu menerusi Muafakat Nasional, tidak menerima Bersatu.

“PN tidak pernah menunggu UMNO untuk bersetuju walaupun pada peringkat awal terbuka untuk bekerjasama atas nama perpaduan ummah dan rakyat.

“Parti-parti komponen PN, PAS dan Gerakan terus memperkasa PN setelah UMNO menolak.

“Sebab itu PN bertanding 28 kerusi DUN untuk menunjukkan keseriusan PN dalam membentuk kerajaan negeri tanpa kerjasama dengan mana-mana pihak,” katanya hari ini diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa UMNO bersedia menerima PAS sekiranya BN menang PRN Melaka.

Sementara itu, Mohd Rafiq berkata manifesto PN yang akan dilancarkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 5 petang di Shah Alam, Selangor, Ahad ini secara hibrid, akan meliputi segenap aspek dan lapisan masyarakat pelbagai kaum di Melaka.

“Manifesto itu bersifat menyeluruh atau holistik dan tiada pihak yang akan tertinggal. Semua golongan, kaum, agama dan budaya akan menerima manfaat bersama.

“Manifesto ini membuktikan bahawa PN adalah satu wadah perjuangan buat rakyat berbilang bangsa dan tidak hanya terhad kepada satu-satu kaum sahaja,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR