PN tak patah semangat, persiap parti hadapi cabaran besar: Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui terdapat beberapa faktor dan kelemahan yang menyebabkan gabungan itu kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, namun ianya tidak mematahkan semangat perjuangan dalam menghadapi cabaran masa depan.

Mengakui, bahawa PN adalah sebuah gabungan yang baharu sahaja dibentuk selain logonya pula baharu sahaja dikenali, beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sokongan rakyat sudah semakin meningkat, sekali gus memberi petanda bahawa PN adalah parti politik yang boleh diharapkan oleh rakyat pada masa hadapan.

Mengambil contoh PRN Johor baru-baru ini, beliau berkata tarikan kepada PN agak kuat berbanding parti lawan yang lain yang turut menentang Barisan Nasional (BN).

“Kita menang di tiga kerusi iaitu Bukit Kepong, Endau dan Maharani. Dua daripada Bersatu dan satu PAS. Tetapi, banyak analisis politik pun telah membuat kajian bahawa antara sebab PN menang tiga kerusi adalah kerana perpecahan parti yang bertanding menentang BN.

“Saya juga melihat ada satu kecenderungan sokongan kepada kempen kita, penerimaan umum masyarakat Melayu, Felda.

“Ini nyata membuktikan bahawa mereka melihat bahawa Perikatan Nasional ini sebagai satu parti yang boleh mereka percayai kerana kita berpegang kepada beberapa prinsip dan asas perjuangan, integriti, kecekapan, keprihatinan kita menentang rasuah dan calon kita semua angkat sumpah untuk membuktikan ini ada asas yang kita perjuangkan supaya dapat terbentuk sebuah kerajaan yang bersih.

“Cuma sokongan itu tak besar sangat sehingga boleh membuat perubahan besar dan menyebabkan kita boleh mendapat jumlah kerusi yang lebih banyak,” katanya dalam program temu bual bersama Ketua Penererangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, malam ini.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata dua PRN yang disertai menunjukkan PN adalah antara parti yang dilihat mempunyai potensi besar, berdasarkan sokongan dan peratusan pengundi.

“Macam di Johor berapa peratus pengundi yang keluar. Kalau berbanding dengan PKR, PKR tak sampai enam peratus. Kita dua puluh empat peratus kalau tak silap saya.

“Ataupun DAP dengan AMANAH bergabung di bawah nama Pakatan Harapan. Jumlahnya dua puluh peratus. Kita ‘single largest’ selepas Barisan Nasional. Jadi ini bagi saya adalah satu gambaran kalau kita berusaha berterusan menyampaikan mesej apa asas perjuangan kita, apa yang telah kita lakukan waktu dahulu waktu kita memimpin parti dan negara.

“Apa yang dah dirasakan oleh rakyat terhadap sumbangan kita, baik dari segi program vaksinasi, bantuan PRIHATIN dan macam-macam perkara yang telah lakukan. Orang rasa ini parti boleh dipercayai. Bagi saya itu penting,” katanya.

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak menolak kelemahan yang dihadapi oleh PN tetapi tidak sehingga menyebabkan hilang semangat perjuangan untuk terus membantu rakyat.

“Kita tidak boleh hanya seperti orang kata kerana kita parti baharu. Tapi masa dan situasi tidak mengatakan kamu parti baru kamu buatlah setakat mana yang kamu mampu. Macam contoh bila menghadapi pilihan raya. Apa yang diharapkan oleh pengundi.

“Apakah jentera kita berkesan? Apakah ahli kita sudah terlatih ataupun mereka memahami tugas dan tanggungjawab. Itu diambil kira. Jadi kesannya ialah apa yang akan kita lihat daripada hasil pilihan raya. Jadi sebab itu untuk tujuan itu saya sedar banyak perkara yang perlu kita ambil perhatian.

“Salah satu ialah Jawatankuasa Pilihan Raya. Keduanya soal kemudahan. Ketiganya, logistik. Macam-macam perkara. Boleh dikatakan hampir semua ni kita kena teliti dengan halus. Dan apa yang harus kita lakukan. Satu yang saya fikir agak tidak kurang penting ialah soal komitmen ahli parti tentang, ini adalah parti kita.

“Saya dah dekat 45 tahun menguruskan pilihan raya ini saya faham. Jadi ada banyak lagi kekurangan yang perlu kita baiki. Sebab itu saya bincang dalam biro politik… teliti kelemahan… itu kita kena ambil kira. Proses untuk memberikan pendidikan, latihan, memahami perlembagaan, memahami tugas-tugas masing-masing, kerjasama, semangat perpaduan elakkan perbalahan.

“Ini inti nak menentukan keberkesanan kita. Kalau itu tidak kita uruskan dengan baik maka kesannya tidak sampai ke mana. Sebab itu bagi saya ini satu pengajaran tapi banyak usaha yang perlu kita ambil untuk perbaiki kelemahan-kelemahan,” katanya.

Muhyiddin juga berkata beliau telah mengarahkan biro latihan untuk menyediakan satu pusat latihan bagi mengadakan pelbagai kursus supaya dapat meletakkan PN dalam keadaan bersiap siaga.

BERITA BERKAIT
POPULAR