
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan berlari-lari anak di Parlimen manakala gambar sebelah ialah pencarum KWSP yang berjalan kaki dari Johor menuju Istana Negara di Kuala Lumpur. - Gambar dari FB Hamzah Zainudin
Perikatan Nasional (PN) tidak akan ‘berlakon’ untuk membantu dan berjuang demi rakyat Malaysia yang sedang menghadapi pelbagai kesukaran hidup sekarang.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata ahli Parlimen gabungan itu akan memberi perkhidmatan kepada rakyat dengan ikhlas dan mengetengahkan masalah mereka di Dewan Rakyat untuk perhatian kerajaan.
Mengulas tindakan seorang pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Norazlan Ismail, yang berjalan kaki dari Johor Bahru menuju Istana Negara, Ketua Pembangkang itu berkata, PN akan terus menyuarakan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar di Parlimen.
“Insya-Allah perjuangan murni saudara Noorazlan ini akan kami bawa ke Parlimen dan Perikatan Nasional akan terus bersuara hingga pengeluaran KWSP bersasar dibenarkan.
“Kami bukan seperti orang tu. Dulu kononnya dialah pejuang rakyat tetapi bila dah berkuasa suara hati rakyat sudah tak dipedulikan.
“Ketika dia susah, dia suruh rakyat turun ke jalanan, tetapi apabila rakyat sedang susah hingga terpaksa berjalan kaki ratusan kilometer demi menuntut pengeluaran KWSP, dia boleh berlakon berlari-lari di Parlimen,” katanya hari ini (1 April 2023) tanpa merujuk siapa yang beliau maksudkan.
Bagaimanapun, dalam satu kiriman di Facebook semalam, Hamzah turut memuat naik gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan berlari-lari anak di Parlimen sambil membawa dokumen, selain gambar Norazlan di sebelahnya.
Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata beliau telah bercakap menerusi panggilan video dengan Norazlan yang berada di Ayer Keroh, Melaka.
“Saya berusaha untuk bercakap dengan saudara Noorazlan selepas dapat tahu kaki dia melecet teruk akibat berjalan kaki terlalu jauh dan saya juga telah meminta ADUN PN Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub, memberikan rawatan kepada Noorazlan.
“Dalam menahan sebak, Norazlan beritahu dia mengambil keputusan berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor ke Istana Negara bagi memperjuangkan haknya agar dibenarkan pengeluaran simpanan KWSP demi anak-anaknya.
“Allahuakbar. Sedih dan sebak saya dengar luahan hati saudara Noorazlan. Dia benar-benar terdesak dan perlukan duit simpanan KWSP demi keluarganya.
“Bagi Norazlan pengeluaran simpanan KWSP adalah kunci untuk dia keluar dari belenggu hutang dan seterusnya memulakan kehidupan baru bersama keluarga,” katanya.
Hamzah percaya ramai lagi rakyat Malaysia seperti Norazlan yang terdesak dan amat-amat memerlukan pengeluaran simpanan KWSP masing-masing.
“Sebab itu pengeluaran KWSP bersasar menjadi agenda perjuangan Perikatan Nasional. Kami angkat denyut nadi dan suara hati rakyat yang mahukan pengeluaran simpanan KWSP ditunaikan kerajaan, tetapi sayangnya dibalas sinis PM Ke-10.
“Perjuangan rakyat jangan dipandang sebelah mata. Dengarlah rintihan rakyat yang berjalan kaki ratusan kilometer ini. Rakyat mahukan pemimpin yang boleh membela mereka, bukan pemimpin yang berlakon saban masa,” kata Hamzah.