PN syaratkan semua calon tandatangani akujanji menentang rasuah

Setiap calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka disyaratkan supaya menandatangani akujanji menentang rasuah, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi PN itu berkata langkah tersebut diambil selari dengan komitmen gabungan itu dalam mendukung prinsip integriti dan melawan rasuah.

“Teras dan pendirian PN adalah menentang salah guna kuasa, rasuah. Memberikan layanan yang adil dan saksama kepada semua pihak. Ini jaminan kerajaan PN yang bakal dibentuk di Melaka.

“Jadi, untuk menunjukkan betapa kita komited menentang rasuah, kita sediakan akujanji. Yang ini saya minta semua calon kita untuk menandatanganinya dalam sehari dua ini,” katanya semasa program Pentas PRN Melaka malam tadi.

Turut hadir, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Selain itu, Muhyiddin juga akan mengumumkan manifesto PN di Melaka yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, PN akan menyenaraikan perkara utama yang penting dan perlu diberi perhatian supaya Melaka menjadi negeri yang lebih maju dan makmur.

Seramai 28 orang calon dipilih mewakili PN bagi menghadapi PRN Melaka pada 20 November, ia terdiri pelbagai latar belakang sama ada calon muda dan juga berpengalaman.

Parti Bersatu bertanding 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sementara PAS bertanding lapan kerusi dan Parti Gerakan pula lima kerusi.

Sebanyak 43 peratus wajah yang ditampilkan berusia 40 tahun ke bawah dengan sebahagian besarnya terdiri daripada golongan profesional dan berpendidikan tinggi serta komited demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Antara nama besar yang mencuri tumpuan dalam PRN Melaka pada 20 November, antaranya Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin yang diletakkan PN di kerusi Tanjung Bidara serta Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen di kerusi Telok Mas.

PRN Melaka adalah yang kedua akan dihadapi PN sebagai sebuah gabungan parti politik berdaftar secara sah selepas kejayaan dalam PRN Sabah lalu.

BERITA BERKAIT
POPULAR