
Setiausaha Agung Perikatan Nasional Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Perikatan Nasional (PN) hari ini menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan seperti dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah demi kestabilan negara.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perbincangan itu melibatkan parti-parti yang sehaluan.
“Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN pada hari ini, Khamis (24 November 2022) telah membincangkan mengenai cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Selaras dengan itu, mesyuarat bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan perbincangan dengan parti-parti yang sehaluan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Cadangan Kerajaan Perpaduan itu muncul selepas kesemua gabungan gagal mendapatkan majoriti untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu lalu.