
Selepas pendedahan sebuah portal berita semalam, Perikatan Nasional (PN) Selangor membuat satu laporan polis terhadap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang dikaitkan dengan sebuah syarikat mendapat projek rundingan terus di negeri itu.
Laporan polis dibuat Ketua Penerangan PN Selangor, Mohd Shukor Mustaffa selepas pendedahan nama Amiruddin turut terdapat dalam syarikat yang mendapat projek daripada kerajaan negeri, ia selepas portal tersebut mendedahkan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam laporan mereka semalam.
Katanya, laporan polis dibuat berdasarkan laporan berita disiarkan sebuah portal berita semalam berkaitan Amirudin dan EXCO Selangor, Izham Hashim yang didakwa mempunyai kepentingan di dalam syarikat yang dianugerahkan projek mega itu iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd (LLB).
“Syarikat itu dianugerahkan satu projek untuk mendalamkan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer berjumlah RM700 juta secara rundingan terus.
“Tujuan saya membuat laporan supaya pihak polis menyiasat perkara ini kerana ia membabitkan salah guna kuasa yang serius,” katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kinrara, di sini, hari ini.
Katanya, laporan berita diterbitkan portal berita itu adalah berdasarkan pendedahan dibuat Setiausaha Agung Parti Hijau Malaysia, Abdul Razak Ismail setelah menyemak maklumat dengan SSM.
Abdul Razak mendakwa Amirudin dan Izham yang juga EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor disenaraikan sebagai pengarah syarikat terbabit bersama empat lagi individu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Semalam, Abdul Razak menerusi laporan portal berita dipetik berkata syarikat LLB dianugerahkan projek Gerbang Maritim Selangor, yang membabitkan pembersihan sungai dan pembangunan Sungai Klang sepanjang 56 kilometer dari Mid Valley City di Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang, yang dikatakan menelan belanja RM700 juta.