
Perikatan Nasional (PN) Selangor akan melancarkan tawaran kepada rakyat negeri itu Jumaat ini bagi pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perkara itu malam tadi ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Umum PN Hulu Selangor di Felda Sungai Tengi.
Menurutnya, manifesto yang dirangka PN mencakupi semua lapisan termasuk golongan miskin, anak muda, wanita, warga emas.
Malah beliau menjangkakan manifesto itu akan menjadi ‘game changer’ untuk negeri itu serta meningkatkan kedudukan rakyatnya.
“Tuan-tuan tanya, ya lah TS kalau PN bentuk kerajaan apa PN Selangor akan buat? Jumaat akan datang ini saya akan umumkan (manifesto). Ini betul-betul manifesto. Sewaktu saya pimpin kerajaan PN dulu saya tak ada manifesto (tapi) tak ada manifesto pun saya buat yang terbaik soal menyelesaikan masalah rakyat. Masalah Covid-19…ekonomi…masalah sebegitu. Ini untuk PRN kita sediakan manifesto.
“Apa bantuan-bantuan yang akan kita sediakan. Saya rasa apa yang saya akan umumkan bukan saja menarik…satu ‘game changer’ yang boleh meningkatkan negeri Selangor dan juga kedudukan rakyat Selangor kepada satu tahap yang lebih tinggi yang lebih baik.
“Supaya kita dapat memberikan bantuan langsung dan tidak langsung, menyediakan bantuan prihatin, bantuan kemudahan untuk anak muda, wanita, orang tua, orang dewasa dan sebagainya. Saya teliti tadi (manifesto PN Selangor) agak cukup elok. Itu nanti akan kita umumkan Jumaat malam akan datang,” katanya.
Malah beliau memberi bayangan akan ada kumpulan tertentu di negeri itu akan menikmati air percuma daripada kerajaan PN Selangor sekiranya gabungan itu memerintah selepas 12 Ogos ini.
“Kita akan jelaskan apa yang termaktub di dalam itu termasuklah mungkin antara lain soal pemberian air secara percuma bagi sesetengah kategori penduduk di negeri Selangor, bantuan langsung kepada kumpulan yang miskin dan miskin tegar dan sebagainya.
“Saya bukan pembangkang yang ‘condemn’ macam-macam, salahkan sana (kerajaan) dan tak ada idea. Kami ada idea dan idea ini akan dilaksanakan ketika kami dipilih membentuk kerajaan negeri Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.