
Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu di ibu negara malam tadi, 27 Julai 2022.
Perikatan Nasional (PN) memperkemaskan lagi persiapan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini berkata satu mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan malam tadi yang dihadiri presiden semua parti komponen PN.
“Malam tadi saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang dihadiri oleh Presiden parti-parti anggota PN dan ahli-ahli Majlis Tertinggi.
“Mesyuarat ini turut membincangkan persiapan-persiapan penting bagi menghadapi PRU-15,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata dalam mesyuarat itu beliau turut memaklumkan perkembangan terkini PN, termasuk pelancaran gabungan itu di Kelantan yang mendapat sambutan menggalakan.
Menurutnya pelancaran PN Terengganu pula akan diadakan di Marang pada 30 Julai ini.
Muhyiddin berkata mesyuarat pada malam tadi juga bersetuju untuk mengadakan Konvensyen PN pada 27 Ogos 2022 sempena sambutan ulang tahun kedua gabungan itu.