PN mula susun pembahagian kerusi, bersiap hadapi PRU15

Perikatan Nasional (PN) sudah mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan pembahagian kerusi yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini yang dihadiri semua parti komponen membabitkan Bersatu, PAS, parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (STAR Sabah), Parti Progresif Sabah (SAPP), dan Gerakan.

“Majlis Tertinggi juga telah membincangkan mengenai persiapan pilihan raya umum yang akan datang.

“Parti-parti komponen Perikatan Nasional telah mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi-kerusi yang akan ditandingi di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri-Negeri dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata susulan pelaksanaan Undi-18, PN juga membincangkan pendekatan dan program yang akan dilaksanakan bagi menyantuni golongan muda dan bersiap sedia dengan penambahan pengundi-pengundi muda dan baharu ini.

Menurutnya PN sentiasa menghormati dan komited mendukung hak generasi muda untuk mengambil bahagian dalam proses pilihan raya dan amalan demokrasi di negara ini.

Bekas Perdana Menteri juga berkata mesyuarat itu juga mencapai ketetapan menyokong Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan pada 13 September 2021.

PN, katanya, akan memainkan peranan untuk menyampaikan pandangan dan pendirian parti itu dari semasa ke semasa mengenai MoU itu.

“Mesyuarat juga membuat keputusan untuk saya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional bagi menyampaikan pendirian yang telah diambil oleh PN berkenaan jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat,” katanya.

Pada masa sama Muhyiddin berkata majlis pelancaran rasmi PN peringkat kebangsaan akan diadakan pada November 2021 dengan PN Selangor menjadi tuan rumah.

Selain itu, beliau turut mengumumkan Haji Saiful Adli Mohd Arshad dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif PN berkuat kuasa 1 Oktober 2021.

Menurutnya, beberapa isu lain termasuk pentadbiran kerajaan, perancangan Majlis Pemulihan Negara, pengurusan pandemik Covid-19,
situasi ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-12 dan isu-isu yang berbangkit berkaitan politik semasa, turut dibincangkan.

BERITA BERKAIT
POPULAR