
Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Tan Sri Abdul Hadi Awang sekali lagi menyatakan pendirian PAS untuk kekal bersama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menyokong idea ‘Khemah Besar’ yang dipelopori Pakatan Harapan (PH).
Presiden PAS itu berkata mereka kekal menjalinkan kerjasama sekarang dengan PN dalam kerajaan sedia ada, ia sekaligus menepis spekulasi berhubung dakwaan kononnya terdapat usaha untuk bergabung dengan blok pembangkang itu.
“Kenyataan setiausaha agung (tiada sebarang kerjasama) sudah cukup. Kita masih kerjasama dengan PN… kerjasama dengan PN, kerjasama dengan kerajaan.
“Tak ada (kerjasama dengan PH)… tak berlaku,” katanya dipetik laporan media hari ini.
Pada 18 Apr lalu, PAS juga mengumumkan parti itu menolak sebarang cadangan untuk bekerjasama dengan parti pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menggesa supaya gabungan politik kerajaan diperkuatkan, menegaskan tiada kerjasama dengan parti pembangkang “khususnya PH”.
Ia dibuat ketika sesetengah pihak mencadangkan semua parti yang berada di luar Barisan Nasional (BN) bekerjasama sebagai langkah memperkuatkan cabaran mereka menjelang PRU ke-15.
Pada masa sama PH pula mengemukakan idea “Khemah Besar” sebagai suatu inisiatif menggembleng parti pembangkang untuk mendepani parti kerajaan sekarang.
Untuk rekod ketika menjadi pembangkang sebelum Feb 2020 lalu PAS memeterai kerjasama secara rasmi dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN). Bagaimanapun PAS secara sepihak menganggotai PN yang ditunjangi Bersatu selepas mereka menjadi kerajaan.
Terdahulu, Presiden Amanah Mohamad Sabu juga baru-baru ini menegaskan sudah pihaknya tidak akan sedia bekerjasama dengan PAS atau Bersatu.