PN, GPS bekerjasama hadapi PRU15

Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu itu berkata Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Abang Openg bersetuju bekerjasama pada PRU15 setelah PN memberi laluan kepada GPS bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

“Abang Jo kata sekarang kita berdepan dengan pilihan raya negeri, jadi pilihan raya negeri ini lebih kepada pembentukan kerajaan negeri.

“Jadi saya setuju, tetapi PRU15 adalah untuk pembentukan Kerajaan Persekutuan. Jadi Abang Jo faham itu, dan untuk PRU15 ia akan terbuka (mengadakan kerjasama),” katanya pada sidang media di Kucing hari ini.

Sambil menolak dakwaan bahawa PN dan GPS akan bertembung sesama sendiri pada PRU15, beliau berkata kedua-dua gabungan itu akan bekerjasama dalam PRU15.

“Bukan menentang GPS. Kita akan bekerjasama. Jadi sudah tentu kerusi itu ada dan kami (PN) percaya bahawa kami boleh membantu dengan cara menambah kerusi Parlimen untuk kerajaan (Persekutuan).

“Dalam pertemuan saya dengan Abang Johari di kediaman saya beberapa minggu lepas sebelum PRN diadakan, kita ada persefahaman untuk negeri kita akan support GPS.

“Kami mahu kerja bersama untuk kukuhkan kerajaan negeri supaya lebih kuat, dan untuk bantu Sarawak capai sasaran pelan 10 tahun sebagai negeri maju,” katanya.

Sebelum ini, empat ahli Bersatu Sarawak termasuk Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Ali Biju bertanding pada PRN Sarawak.

Bagaimanapun, Ali menarik diri setelah menerima nasihat Muhyiddin dan bersetuju menyokong calon GPS, Friday Belik bagi Dewan Undangan Negeri Krian.

Manakala tiga lagi ahli Bersatu dipecat kerana tidak mematuhi arahan diberikan.

BERITA BERKAIT
POPULAR