
Pengarah Pilihan Raya PN Kelantan Zulkifli Mamat.
Perikatan Nasional (PN) dijangka mengumum dan memperkenalkan calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kerusi Parlimen di Kelantan dua hari sebelum hari penamaan calon.
Pengarah Pilihan Raya PN Kelantan Zulkifli Mamat berkata serentak itu pelancaran jentera pilihan raya juga dijangka dibuat pada tarikh berkenaan.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 November depan sebagai hari penamaan calon, tarikh mengundi awal ialah pada 15 November, dan hari pengundian (19 November).
“Kebiasaannya kita akan memperkenalkan calon dan pelancaran jentera dua hari sebelum hari penamaan calon. Insya-Allah tahun ini juga sama.
“Semua calon PN Kelantan serta dua negeri lagi akan guna logo PAS sebagaimana yang dimuktamadkan sebelum ini,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Menjawal soalan, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sama ada terdapat pemimpin yang kini bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), akan dicalonkan di peringkat Parlimen.
“Kita (PN) tak boleh nak keluarkan lagi calon… kemungkinan itu semua ada… dalam politik sebenarnya semua kemungkinan ada,” katanya.
Zulkifli berkata bagi berdepan PRU-15 ini hanya satu bilik gerakan yang akan beroperasi iaitu PN, bukan Bersatu atau PAS.
Katanya, lebih 27,000 petugas jentera pilihan raya akan dikerah turun padang mendekati pengundi dalam usaha merebut semua 14 kerusi Parlimen di negeri ini.
“Untuk Kelantan, kita mempunyai 544 bilik gerakan unit daerah mengundi,” katanya.
Pada masa sama, Zulkifli berkata, sebaik hari penamaan calon, PN akan mengadakan sidang media harian di bilik gerakan.
“Kali ini PN mengambil pendekatan mesra pemberita dan mesra berita. Disebabkan itu, kita akan mengadakan sidang media setiap hari, pada jam 11 pagi bagi memudahkan pihak media,” katanya memaklumkan Kelantan mempunyai lebih 1.4 juta pengundi.