
Noh melaungkan keyakinan kerajaan PN akan jauh lebih baik memerintah Selangor berbanding PH.
Tan Sri Noh Omar menjangkakan pertembungan dua penjuru di Selangor akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Namun bekas Pengerusi UMNO Selangor itu berkata, keputusan itu bergantung kepada peratusan pengundi Melayu yang keluar mengundi selain sokongan daripada pengundi bukan Melayu.
Sekiranya perakra itu berlaku, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berpandangan sekurang-kurangnya 33 daripada 56 kerusi di Selangor yang lebih 60 peratus pengundi Melayu mampu dimenangi oleh PN.
“Sebab di seluruh Selangor ini kita ada 33 kerusi, yang pengundian Melayu lebih 60 peratus.
“Ini adalah target (sasaran) kita. Sebab itu saya ambil contoh macam dekat PDM (pusat daerah mengundi), kalau PDM itu ada pengundi bukan Melayu dia 40 peratus, tentu kalah.
“Sebab pengundi Melayu 60 peratus, pecah tiga (saingan tiga penjuru). Sebab itu dia (saingan kerusi) tak boleh pecah tiga tetapi kena pecah dua (baru) kita (PN) boleh menang,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang di Sungai Gulang-Gulang di Kuala Selangor, malam tadi, lapor Awani.
Noh berkata meski dipecat daripada UMNO, teori saingan dua penjuru yang diperjuangkannya sejak menjadi Pengerusi UMNO Selangor diteruskan melalui platform PN dalam usaha mengalahkan PH.
Katanya lagi, manifesto PN Selangor iaitu ‘Selangor Baharu Kita Bangkit’ disifatkan menyeluruh kerana merangkumi kebajikan penduduk di luar dan separa bandar yang pernah diperjuangkannya sebelum ini.
“Di Selangor, mesti ada manifesto untuk bandar, separa dan luar bandar. Saya masyarakat luar bandar (Tanjong Karang), terima kasih (kerana tawar pemansuhan) parkir.
“Dari dulu saya memang tak bersetuju (kena ada bayaran) parkir di kampung dan luar bandar di Tanjong Karang. Kenapa buat (bayaran) parkir, ini luar bandar,” katanya lagi.
Pada PRN 12 Ogos ini, 26 kerusi menyaksikan persaingan dua penjuru antara gabungan PH-BN dengan PN, 25 kerusi melibatkan tiga penjuru manakala lima kerusi berdepan saingan empat penjuru.
DUN Permatang menyaksikan saingan dua penjuru antara antara Nurul Syazwani yang juga anak Noh menentang Ketua Cabang PKR Tanjong Karang, Mohd Yahya Mat Sahri.