PN boleh hilang pengundi jika kerjasama dengan PH: Rafizi

Cadangan kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) perlu dilihat dan dikaji dengan teliti dan berhati-hati.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata ini kerana jika tersilap langkah, PN juga akan kehilangan undi mereka, terutama pengundi atas pagar yang akan berpihak kepada BN.

Dari awal lagi beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu menolak cadangan berkenaan kerana melihat kepada pola pengundian, terutama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Kita buat simulasi dengan 40,000 orang pengundi atas pagar di Johor untuk kita faham kenapa mereka undi PN dan kita buat dua tiga senario simulasi untuk melihat apakah keputusannya jika mereka ada pilihan untuk menjadi pengundi atas pagar ataupun tidak memilih mana-mana parti.

“Simulasi yang dibuat berkonsepkan pemindahan undi yang mana kita dapati 60 peratus itu lebih rela memilih BN dan PN daripada PKR serta PH. Tukarlah simulasi keadaan macam mana pun, undi BN dan PN itu berubah naik kerana 60 peratus itu pindahkan undi mereka kepada BN dan PN, tetapi undi PKR serta PH tak berubah dan kekal 10 peratus.

“Apabila ditanya dan diminta buat keputusan mereka kata sebenarnya sudah buat keputusan memang takkan pilih PKR atau PH kali ini, kalau kena pilih, bagi (undi kepada) BN atau bagi PN.

“Oleh itu saya tak bersetuju jika digabungkan dengan PN dan PH, tak tentu undi itu (bertambah) menjadi satu PH campur dengan PN, malah jika tidak berhati-hati, PN pun akan hilang undi itu dan lebih banyak undi atas pagar itu pergi kepada BN,” katanya memetik laporan Utusan.

Rafizi yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR Mei ini, juga berpendapat PH tidak perlu mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti lain bagi menghadapi PRU-15, apalagi dengan Warisan, Pejuang dan Muda, yang tidak boleh memberi nilai tambah pengundi.

Menurutnya berdasarkan data daripada empat Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini beliau tidak melihat ada nilai tambah pengundi yang dibawa oleh khemah besar atau parti-parti lain, sebaliknya berebut pengundi PH dan PKR yang sedia ada.

“Dalam keadaan ini kita tahulah Warisan dan Pejuang memang tak ada (nilai tambah). Keputusan PRN Johor juga menunjukkan PKR dan Amanah lebih baik daripada Muda sekiranya dibandingkan komposisi pengundi di kerusi ketiga-tiga parti itu,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR