PN bimbang nasib peneroka Felda kembali asal jika BN, UMNO perintah

Perikatan Nasional (PN) bimbang sekiranya Barisan Nasional (BN) dan UMNO diberi peluang memerintah, keadaan peneroka Felda akan kembali kepada asal setelah kembali pulih sekarang ini.

Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin melahirkan kebimbangan usaha pemulihan Felda yang dimulakan Pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, akan digagalkan oleh UMNO dan BN.

Oleh itu, katanya pengundi yang akan memilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor esok, khususnya dalam kalangan peneroka Felda, harus memastikan PN memerintah untuk kekal menikmati pembangunan yang ada sekarang.

“Usaha-usaha pemulihan Felda yang dimulakan oleh Tan Sri Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri dahulu akan digagalkan oleh UMNO dan BN jika parti itu dibiar memerintah.

“Oleh itu semua warga Felda termasuk generasi kedua dan pewaris wajar kembali mengundi Perikatan Nasional esok bagi memastikan UMNO dan BN dapat ditumbangkan di Johor,” katanya pada ceramah umum di Endau, Mersing, malam tadi yang turut dihadiri Muhyiddin.

Radzi yang juga Menteri Pendidikan berkata, jika PN memerintah, peneroka boleh membeli tanah yang untuk membina rumah generasi kedua Felda di Johor dengan membayar premium RM1 setiap kaki persegi sahaja.

Perkara itu terkandung dalam Ikrar PN Untuk Johor yang dilancarkan Muhyiddin baru-baru ini.

Menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mendabik dada kononnya dia yang menyelamatkan Felda, Radzi mendedahkan isu pembelian Eagle High Plantations TBK di Indonesia daripada Kumpulan Rajawali ketika BN berkuasa dahulu.

“Dia cerita seolah-olah dialah yang menyelamatkan Felda… pooorah! Sembang. Apa nak buat? Beli harga 584 rupiah tinggal 83 rupiah hilang nilai 84 peratus. Ini duit siapa? Generasi peneroka, anak-anak mereka, masa depan pewaris Felda.

“Dia kata dia bercerita… eh tak apa, dia ada put option. Ini meniaga ni, meniaga orang atas-atas. Nanti dia bayar bunga enam peratus setahun dia kata. Put option ni apa? Maknanya dia kata Eagle High boleh beli balik yang mana Felda ambik tadi.

“Dia kata tak apa untung enam peratus. Dia tak tahu duit yang dia pinjam daripada Kementerian Kewangan itu kena bayar bunga jugak. Tolak bunga ni, tolak bunga tu, tinggal berapa sen je untung?

Tetapi pada masa yang sama tahun 2019 Felda dah mintak oklah aku dah tak nak pegang dah saham ni. Kau ambik baliklah. Kau bagi duit aku RM2.3 bilion. Tapi syarikat tersebut pusing-pusing kata macam-macam. Tak nak bagi balik, masih berunding.

“Di peringkat antarabangsa nak runding supaya tak payahlah dulu. Kami tak nak pulangkan balik RM2.3 bilion ini. Belum sampai masanya lagi.

“Saya risau kalau tempoh put option ini tamat pada Mei tahun depan, saya risau kalau Felda tak dapat balik seperti mana yang dijanjikan. Ini kerja manusia yang tidak fikir orang lain. Ini manusia yang fikir bahawa sampai ke sudah rakyat akan menyokong mereka,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR