
Anak muda antara penerima Anugerah Prihatin Perikatan Nasional kerana menunjukkan keprihatinan, pengorbanan serta sumbangan luar biasa kepada negara dan masyarakat. - Gambar Agenda Daily
Perikatan Nasional (PN) mengajak anak-anak muda untuk bersama-sama berjuang menentang rasuah, penyelewengan dan membenci salah guna kuasa demi memartabatkan agama, bangsa dan negara.
Timbalan Pengerusi PN Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata anak muda adalah pembina masa depan Malaysia dan bertanggungjawab untuk memulihkan negara.
Menurutnya perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa menjadi fokus utama bagi PN dan akan terus menjadi agenda penting dalam memastikan Malaysia terus bebas daripada amalan rasuah serta salah guna kuasa.
“Selagi Perikatan Nasional diberikan mandat dan kepercayaan oleh rakyat, maka kita akan memastikan pentadbiran negara ini terus kekal terhindar daripada unsur-unsur yang merosakkan negara.
“Kita mengajak semua anak muda yang akan membina masa depan negara, gunakan tanggungjawab yang ada pada hari ini untuk kita pulihkan negara kita. Anak muda, pengundi muda juga membenci rasuah, benci penyelewengan, benci salah guna kuasa.
“Ini masanya kita bersama. PN bersama anak muda akan terus memartabatkan agama, bangsa kita di kedudukan paling tinggi yang menjadi contoh kepada negara-negara lain.
“Kami bersama anda wahai anak muda, harapan bangsa. I am with you in this struggle,” katanya berucap pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang hari ini (27 Ogos).
Ahmad Faizal juga bersyukur susulan perkembangan mutakhir perjalanan badan kehakiman di Malaysia yang telah mendapat reaksi positif dari seluruh dunia.
“Syabas dan tahniah kepada para hakim yang bijaksana serta telah melaksanakan tanggungjawab dengan begitu baik. Kita meraikan badan kehakiman yang bebas.
“Pada masa yang sama, kita patut berasa malu apabila ada pemimpin negara ini yang dijatuhi hukuman bersalah kerana terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa. Negara pula terus terbeban dengan kerugian dan hutang berpanjangan,” katanya.
Malaysia menjadi perhatian dunia pada 23 Ogos lalu, apabila Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 setelah didapati bersalah dalam kes RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Najib menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menjalani hukuman penjara apabila disabitkan dengan kesalahan berkaitan penyelewengan, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata rakyat sekarang ini turut membenci rasuah dan memusuhi pemimpin yang tidak bertanggungjawab.
“Rakyat senada dan seirama dengan perjuangan PN. Tetapi rakyat juga mahukan PN bersatu hari. Rakyat juga bersetuju dengan perjuangan PN dan mahu melihat kita berpakat dengan baik.
“Kita mesti meletakkan kepentingan negara dan parti mengatasi kepentingan peribadi. Kita mesti sucikan hati dan ikhlas dalam perjuangan ini,” katanya.
Oleh itu beliau berkata sekira kepimpinan meletakkan calon daripada satu-satu parti, maka parti komponen lain wajib memberi sokongan penuh kerana yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti adalah mewakili PN.